Perkeso lancar bulan pemutihan, beri peluang majikan mendaftar
Mariah Ahmad
Mac 1, 2016 19:05 MYT
Mac 1, 2016 19:05 MYT
Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) memberikan tempoh pemutihan dengan membuka peluang kepada semua majikan yang layak dan masih belum berdaftar supaya berbuat demikian sebelum 1 April.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Dr Mohammed Azman Aziz berkata majikan yang mendaftar sebelum tarikh tersebut tidak akan dikenakan tindakan kompaun walaupun melebihi tempoh yang ditetapkan serta akan dikecualikan daripada faedah caruman lewat bayar yang bakal dikenakan.
"Perkeso menyeru supaya semua majikan yang layak tetapi masih belum mendaftar tampil secara sukarela untuk berbuat demikian di mana mana 49 pejabat Perkeso di seluruh negara.
"Sekiranya masih gagal berbuat demikian dan kemudiannya dikesan Perkeso, maka tindakan pengkompaunan dan pendakwaan akan diambil ke atas mereka," katanya pada sidang media di Menara Perkeso, Jalan Ampang, di sini pada Selasa.
Jelasnya mana-mana majikan yang gagal dikesan mendaftar dalam tempoh 30 hari yang ditetapkan, akan dikenakan kompaun bernilai RM500 hingga RM4,000 mengikut tempoh kelewatan.
Semenjak tahun 2009 hingga 31 Disember 2015, sebanyak 27,449 kompaun pelbagai kesalahan berjumlah RM9 juta telah dikeluarkan, dengan 18,670 (68.02 peratus) kompaun adalah kesalahan mendaftar perusahaan dan pekerja.
Manakalah sebanyak 10,140 majikan telah didakwa atas kesalahan yang mana sebanyak 3,275 (32.30 peratus) kesalahan yang sama.
Sekiranya disabitkan kesalahan, majikan boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Bagi tahun tahun ini, Mohammed Azman mensasarkan 50,000 majikan untuk mendaftar.