Perkeso laksana ERP, program bantuan pekerja hilang pekerjaan
Bernama
Mac 26, 2020 21:08 MYT
Mac 26, 2020 21:08 MYT
Kementerian Sumber Manusia melalui agensinya, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) telah melaksanakan Program Pengekalan Pekerjaan (ERP) yang diperkenalkan melalui Pakej Rangsangan Ekonomi 2020.
Menteri berkenaan, Datuk Seri M. Saravanan berkata, ERP yang dilaksanakan melalui Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) akan bertindak sebagai bantuan kepada pekerja yang kehilangan pekerjaan.
"Bantuan tersebut diberikan dalam bentuk faedah bantuan kewangan sementara dan perkhidmatan pekerjaan," katanya menerusi ucapan Pesanan Khidmat Masyarakat (PSA) hari ini.
Dalam pada itu, Kumpulan Wang Pembangunan Sumber Manusia (KWPSM) juga melancarkan inisiatif Pakej Rangsangan Latihan 2020 (PRL2020) yang bakal memberi manfaat kepada lebih 40,000 pekerja tempatan.
Saravanan berkata, pakej itu bakal menawarkan pelepasan kepada lapan subsektor yang terkesan oleh COVID-19 antaranya perhotelan, pengurusan pelancongan dan pengangkutan udara.
Sementara itu, Saravanan turut mengingatkan majikan tidak memotong gaji pekerja atau memaksa para pekerja mengambil cuti tahunan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.
"Para majikan digesa dan dinasihatkan untuk membayar gaji penuh sepanjang tempoh PKP. Adalah menjadi tanggungjawab majikan untuk memastikan kebajikan dan kesihatan pekerja terjaga.
"Saya turut menyeru supaya rakyat Malaysia, mematuhi PKP yang diumumkan oleh Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) pada 16 Mac lalu. Marilah kita bersatu hati dan bekerjasama untuk membendung penularan virus COVID-19 ini. Stay calm, stay home," katanya. - BERNAMA
#COVID19
#ERP
#Kementerian Sumber Manusia
#Kumpulan Wang Pembangunan Sumber Manusia
#Pakej Rangsangan Latihan 2020
#perkeso
#Pertubuhan Keselamatan Sosial
#Program Pengekalan Pekerjaan
#SIP
#Sistem Insurans Pekerjaan