Perkeso kesan 16 kes babitkan pemalsuan dokumen pesakit
Astro Awani
Januari 27, 2021 19:20 MYT
Januari 27, 2021 19:20 MYT
KUALA LUMPUR: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) mengenal pasti 16 kes berkaitan siasatan terhadap seorang pegawai perubatan yang disyaki memalsukan dokumen rekod pesakit.
Perkeso dalam satu kenyataan memaklumkan, berdasarkan penelitian awal, terdapat beberapa dokumen telah diproses untuk pembayaran tuntutan faedah.
"Pada masa yang sama, Perkeso juga sedang menjalankan siasatan dalaman bagi mengenal pasti sebarang unsur penipuan yang mempunyai modus operandi yang sama.
"Sekiranya terdapat penemuan yang berkaitan, Perkeso akan melaporkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan selanjutnya," kata kenyataan itu.
Pada 25 Januari lalu, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Pulau Pinang memaklumkan sedang menyiasat seorang doktor wanita di sebuah hospital kerajaan di negeri itu yang disyaki memalsukan dokumen rekod pesakit, tuntutan insurans dan Perkeso.