Perkeso: Jumlah caruman tentukan kelayakan terima pencen Ilat atau Penakat
Bernama
Oktober 21, 2019 07:24 MYT
Oktober 21, 2019 07:24 MYT
Kegagalan majikan mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sehingga bilangan caruman yang dibuat tidak mencukupi boleh menyebabkan pekerja dan keluarga tidak mendapat sebarang bantuan daripada pertubuhan apabila ditimpa musibah.
Pengarah Perkeso Kelantan, Nora Yaacob berkata ini disebabkan jumlah caruman akan menentukan sama ada seseorang pencarum itu layak untuk menerima pencen Ilat atau pencen Penakat.
"Sehubungan itu saya mengingatkan pekerja sentiasa memastikan majikan membayar caruman setiap bulan bagi melayakan mereka mendapat bantuan dan pencen sekiranya berlaku kemalangan atau kematian.
"Kegagalan majikan mencarum dengan Perkeso akan menyebabkan keluarga tidak akan mendapat sebarang bantuan dan lebih menyedihkan lagi bila anak-anak yang ditinggalkan masih kecil," katanya semasa melawat Mat Nasir Mat Salleh, 41, yang lumpuh setelah terlibat dalam kemalangan jalan raya pada 11 Jun lalu.
Katanya, pencen Penakat dibayar kepada orang tanggungan yang layak termasuk isteri dan anak-anak apabila Orang Berinsurans meninggal dunia akibat sebarang sebab yang tidak berkaitan dengan pekerjaan.
Beliau berkata pencen Ilat pula diberikan kepada pekerja yang layak dan disahkan menghidap keilatan oleh Jemaah Doktor atau Jemaah Doktor Rayuan bermula dari tarikh Notis Keilatannya diterima atau tarikh berhenti kerja jika pekerja berhenti kerja selepas Notis Keilatan diterima oleh Pertubuhan dan dibayar selama pekerja mengalami keilatan atau hingga meninggal dunia.
Nora bersama Skuad Perkeso Prihatin Negeri Kelantan yang tiba di kediaman Mat Nasir kira-kira 11.50 pagi menyerahkan bantuan berupa susu dan lampin pakai buang yang diperlukan Mat Nasir.
Mat Nasir cedera parah di kepala koma dan dirawat selama dua bulan di unit rawatan rapi Hospital Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian dan kini hanya minum susu empat jam sekali menggunakan tiub.
Beliau berkata, Mat Nasir hanya diberikan pencen Ilat berupa barangan keperluan harian dan sekiranya ada permintaan barangan lain termasuk katil dan tilam, ia perlu dibuat dengan sokongan doktor.
Sementara itu isteri Mat Nasir, Zuraida Abd Latiff, 39, bersyukur mendapat bantuan itu dan sedikit sebanyak membantu meringankan perbelanjaan keluarga.
"Jika tidak saya menggunakan wang dari bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk membeli barang keperluannya," katanya.
Pasangan itu yang memiliki enam anak termasuk seorang bayi lelaki yang dilahirkan selepas dua minggu Mat Nasir kemalangan kini mengharapkan bantuan orang ramai, jabatan-jabatan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk meneruskan kehidupan.
-- BERNAMA
#Hospital
#Jabatan Kebajikan Masyarakat
#keluarga
#kemalangan
#keselamatan
#meninggal dunia
#perkeso