Perkeso gesa majikan tingkat keselamatan pekerja semasa perjalanan
Bernama
Ogos 5, 2019 06:46 MYT
Ogos 5, 2019 06:46 MYT
Kemalangan jalan raya membabitkan pekerja ketika pergi dan balik dari tempat kerja mencatat peningkatan hampir 80 peratus sejak 10 tahun lepas, kata Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.
Sehubungan itu, Perkeso menggesa majikan supaya meningkatkan keselamatan pekerja ketika perjalanan pergi dan balik dari tempat kerja kerana adalah menjadi tanggungjawab majikan dalam meningkatkan keselamatan mereka baik di tempat kerja atau dalam perjalanan ke tempat kerja.
''Kemalangan ketika pekerja berada di tempat kerja dapat dikurangkan sehingga 50 peratus tetapi kemalangan ketika pekerja sedang dalam perjalanan meningkat hampir 80 peratus, ini sebenarnya tanggungjawab majikan untuk mengurangkan kemalangan.
"Pekerja merupakan aset kepada syarikat dan majikan perlu memastikan keselamatan pekerja terjamin bukan sahaja di tempat kerja tetapi juga memastikan pekerja hadir dan pulang dengan selamat," katanya dalam segmen Ruang Bicara di Bernama News Channel, pada Isnin.
Gesaan itu adalah inisiatif Perkeso sempena kempen Vision Zero Malaysia yang dilancarkan bulan lepas dengan hampir 200 majikan dan 23 organisasi turut serta bagi mengutamakan keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan pekerja.
Mohammed Azman berkata kempen itu merupakan kempen jangka panjang bagi terus mengenal pasti sebarang kemalangan yang dihadapi oleh pekerja.
Katanya, Perkeso ketika ini sedang giat aktif di seluruh negara bagi mengenal pasti majikan yang mencatat jumlah kemalangan tertinggi kalangan pekerjanya semasa pergi dan balik dari tempat kerja.
"Jika dapat dikenal pasti, pihak majikan boleh memulakan pendekatan tertentu seperti program pemanduan berhemah. Kami juga bekerjasama dengan pihak polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengenai kawasan berisiko kemalangan, semua ini menerusi kempen yang teratur bagi mengurangkan kemalangan dan kematian," katanya.
Pada masa yang sama, Mohammed Azman juga berharap golongan pekerja dapat meningkatkan kesedaran ketika memandu dan memikirkan nasib keluarga jika terlibat dalam kemalangan.
Mengikut angka terkini kes kemalangan yang dilaporkan kepada Perkeso, sebanyak 72,631 kes dilaporkan pada tahun lepas dan dua per tiga daripada kes itu berlaku di jalan raya.
-- BERNAMA
#Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed
#kemalangan
#keselamatan
#majikan
#perkeso
#tempat kerja