Perkeso buru majikan gagal daftar, carum pekerja menjelang Ogos
Bernama
Jun 8, 2018 23:15 MYT
Jun 8, 2018 23:15 MYT
Kerajaan memberikan tempoh sehingga Ogos depan untuk majikan mendaftarkan pekerja mereka dan membayar caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Menteri Sumber Manusia M. Kulasegaran menegaskan Perkeso akan melancarkan kempen di seluruh negara menerusi Op Kesan untuk memburu majikan yang gagal mematuhi syarat tersebut pada tempoh masa ditetapkan.
Beliau yang juga Anggota Parlimen Ipoh Barat berkata majikan yang gagal akan berdepan hukuman denda sebanyak RM10,000 atau dua tahun penjara atau kedua-dua sekali.
"Tetapi saya maklumkan kepada Perkeso kami tidak mahu mengheret majikan ke mahkamah. Untuk apa simpan dalam penjara? Kami mahu melihat penglibatan mereka dan Perkeso selain mewujudkan suasana mesra perniagaan.
"Alasan tidak mendaftarkan pekerja disebabkan perniagaan tidak berjalan dengan baik, tidak boleh diterima kerana apabila perniagaan maju mereka (majikan) tidak pula menggandakan caruman," katanya.
Kulasegaran bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan cek faedah pengurusan jenazah Perkeso sebanyak RM2,000 kepada balu Shuib K.K. Mohamed Unny, Rozaini Ibrahim di Kampung Kurnia Jaya, Kamunting di sini hari ini.
Menurut Kulasegaran, berdasarkan rekod Perkeso, sehingga Disember 2017 terdapat seramai 6.8 juta pekerja aktif di seluruh negara melibatkan 435,802 majikan yang berdaftar dengan pertubuhan itu.
Pada tahun 2015 sebanyak 1,464 majikan masih gagal berdaftar, 2016 (1,608 majikan) dan tahun lepas mencatatkan 1,544 majikan, katanya.
Sementara itu, Rozaini berkata terharu dengan bantuan Perkeso dan berjanji akan menggunakannya sebaik mungkin untuk membesarkan tiga orang anak berumur 16, 20 dan 22.
"Saya akan menggunakan wang faedah orang tanggungan suaminya sebanyak RM1,499 sebulan untuk membiayai perbelanjaan persekolahan tiga anak," katanya.
Shuaib K.K yang merupakan pemandu bas maut bersama dua penumpang dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan berat di KM142 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah utara berhampiran persimpangan Pagoh, Selasa lalu.
-- BERNAMA