PERKESO belanja RM350 juta setahun biaya pesakit buah pinggang - Sivakumar
Bernama
November 7, 2023 20:34 MYT
November 7, 2023 20:34 MYT
IPOH: Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) membelanjakan kira-kira RM350 juta setiap tahun bagi membiayai kos rawatan pencarum yang menghidap penyakit buah pinggang.
Menteri Sumber Manusia V. Sivakumar berkata ia merupakan satu jumlah yang sangat besar dan untuk meringankan kos itu PERKESO kini dalam usaha mewujudkan lebih banyak pusat dialisis di negara ini termasuk di negeri Perak.
"Perbincangan telah dibuat dengan Kementerian Kesihatan untuk membolehkan lebih banyak Pusat Dialisis PERKESO dibuka di seluruh negara.
"Ini (langkah itu) boleh mengurangkan liabiliti PERKESO kerana kos dapat dikurangkan dan membantu mereka (pencarum) yang menghidap sakit buah pinggang," katanya pada sidang media sempena majlis Sambutan Deepavali PERKESO 2023 di sini, hari ini.
Sementara itu, Sivakumar berkata berkenaan cadangan membuka pusat dialisis di negeri Perak setelah beliau mengadakan perbincangan dengan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.
Sivakumar berkata beliau dimaklumkan Mohammed Azman, kerja-kerja awal untuk mewujudkan satu pusat dialisis di Perak sedang dilaksanakan.
"Saya akan buat pengumuman pada Januari atau Februari berkaitan perkara ini sebab mereka (PERKESO) masih dalam peringkat awal untuk mengenal pasti lokasi sesuai untuk membuka pusat dialisis tersebut tetapi pasti akan ada," katanya.
Pada masa sama, Sivakumar berkata pusat dialisis itu tidak bersekali dengan Pusat Rehabilitasi Neuro-Robotik dan Cybernics Kebangsaan PERKESO di Meru Raya di sini yang dijangka siap penghujung 2024.
"Pusat rehabilitasi di Taman Meru setakat ini 35 peratus kerja-kerja pembinaan telah siap dan dijangka akan siap keseluruhannya pada November 2024, dijangka beroperasi awal 2025," katanya.
Menyentuh mengenai program, Sivakumar berkata PERKESO mendermakan tiga mesin hemodialisis bagi menampung peningkatan keperluan rawatan pesakit buah pinggang kronik.
Katanya dua unit daripada mesin hemodialisis itu didermakan kepada Pusat Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan (NKF)-Yayasan Dialisis Pendidikan Akhlak Perak, manakala satu unit lagi kepada Persatuan Meningkat Akhlak Woh Peng Cheang Seah.
Sivakumar turut memaklumkan setakat Oktober lepas, PERKESO telah membelanjakan hampir RM46.84 juta untuk menyediakan 1,171 unit mesin hemodialisis sejak rawatan dialisis mula diperkenalkan agensi peneraju keselamatan sosial berkenaan pada 1998.
-- BERNAMA