Perkeso bayar RM186 juta tuntutan COVID-19
Bernama
Jun 23, 2022 23:26 MYT
Jun 23, 2022 23:26 MYT
ALOR SETAR: Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) telah membayar lebih RM186 juta tuntutan faedah kes COVID-19 kepada 173,498 pekerja di negara ini, sejak 2020 sehingga hari ini yang melibatkan Akta 4 dan Akta 789 di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS).
Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Awang Hashim berkata pada masa ini, PERKESO masih lagi menerima dan memproses pemohonan tuntutan faedah berkaitan COVID-19 itu, yang berlaku di tempat kerja.
"Sehingga hari ini, sebanyak 233,746 pemohonan telah diterima dan 173,498 daripadanya telah diluluskan dan pemohon telah menerima bayaran.
"Bagi Akta 4, bayaran telah diserahkan kepada 158,691 pekerja tempatan dan 13,740 pekerja asing, melibatkan bayaran kira-kira RM185 juta. Sementara itu, bagi Akta 789, bayaran telah dibuat kepada 1,067 pekerja dengan bayaran kira-kira RM1 juta," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Terdahulu, beliau merasmikan program Simposium Keharmonian Perusahaan Wilayah Utara, yang diadakan bagi meningkatkan hubungan majikan dan pekerja dalam menjaga kepentingan keharmonian perusahaan, selain meningkatkan tahap pematuhan undang-undang.
Sementara itu, Awang berkata bagi pemohonan tuntutan faedah COVID-19 yang belum diluluskan, PERKESO perlu menyiasat terlebih dahulu untuk mengenal pasti di mana jangkitan berlaku sama ada di tempat kerja atau di tempat lain.
"Pemohonan yang belum lulus ini mungkin masih ada data atau dokumen yang masih tidak lengkap, jadi bayaran tidak boleh dibuat. Tetapi, tuntutan itu adalah bagi membantu mereka yang terkena musibah wabak ini termasuk yang meninggal dunia," katanya.
-- BERNAMA