Perkeso bayar faedah cecah RM5.73 bilion tahun lepas - Steven Sim

Bernama
Februari 16, 2024 07:45 MYT
Menurut Steven Sim, prestasi kewangan PERKESO pada tahun berakhir 2023 secara keseluruhan adalah yang terbaik semenjak ia ditubuhkan pada 1971. - Gambar fail Bernama
JOHOR BAHRU: Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) membayar faedah mencecah RM5.73 bilion kepada Orang Berinsurans (OB) termasuk tanggungan pada tahun lepas.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, berbanding tahun 2022, pembayaran faedah yang dibuat oleh PERKESO ialah sebanyak RM5.1 bilion.
Beliau berkata, prestasi kewangan PERKESO pada tahun berakhir 2023 secara keseluruhan adalah yang terbaik semenjak ia ditubuhkan pada 1971.
"Kejayaan ini didorong pencapaian kewangan PERKESO pada 2023 yang merekodkan pertumbuhan positif dalam segenap aspek mengatasi tahun sebelumnya.
"...(antaranya) melalui hasil pendapatan caruman dan penguatkuasaan yang menyaksikan pertumbuhan positif sebanyak 14 peratus serta peningkatan pendapatan pelaburan kasar kepada 27 peratus dengan pulangan pelaburan (ROl) melebihi enam peratus," katanya ketika berucap pada Program Kesuma MADANI Tahun Baharu Cina, di sini, pada Jumaat.
Turut hadir Pengerusi Lembaga PERKESO, Datuk Seri Subahan Kamal.
Sim berkata, pada masa sama, prestasi kewangan yang baik dan ruang fiskal lebih dinamik membolehkan PERKESO menampung perluasan faedah yang sekali gus menyuntik pelaburan semula bagi tujuan penerapan pelbagai teknologi, demi manfaat dan capaian perkhidmatan dalam kalangan pencarum.
"Ini merupakan antara sebahagian kesan limpahan daripada keutuhan kewangan yang dicatatkan PERKESO," katanya.
Beliau juga berkata, PERKESO sedang merangka untuk meneroka bentuk perlindungan baharu seperti perlindungan di luar kerja serta mempertingkat mutu tadbir urus dan perkhidmatan secara holistik termasuk dalam memastikan perlindungan yang lebih mampan serta sejagat.
Terdahulu, Sim melancarkan aplikasi PRIHATIN yang memudahkan OB berurusan dengan PERKESO.
Beliau berkata, aplikasi PRIHATIN yang ditambah baik itu antara lain membolehkan pengguna menyemak dan memuat turun penyata caruman, pendaftaran Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) serta pengiraan faedah.
Program anjuran PERKESO itu turut menyaksikan 40 ibu tunggal, 90 anak yatim dan 15 penerima faedah diberikan pelbagai sumbangan dengan nilai keseluruhan RM164,696. - BERNAMA
#perkeso #faedah #orang berinsurans #Menteri Sumber Manusia Steven Sim
;