Perkenalkan mekanisme aduan gangguan seksual secara 'e-filing' - Presiden AWL
Irfan Faruqi
September 2, 2024 18:52 MYT
September 2, 2024 18:52 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu memperkenal mekanisme aduan mengenai insiden gangguan seksual secara dalam talian, memandangkan ketika ini hanya laporan secara fizikal yang dibenarkan.
Presiden Persatuan Peguam Wanita (AWL), Daniella Zulkifli berkata, kaedah digitalisasi ini akan membuka akses lebih luas kepada individu di luar bandar untuk melaporkan insiden gangguan seksual.
"Tidak banyak laporan (gangguan seksual) yang telah dibuat, antara sebabnya adalah setakat ini semua aduan mesti dibuat secara fizikal. Mangsa perlu pergi ke pejabat untuk buat aduan tersebut.
“Walhal, kami telah mencadangkan bahawa laporan boleh dibuat secara e-filing. Apabila ini boleh dilakukan, lebih mudah untuk pengadu membuat laporan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Isnin.
Pada Ahad, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) mencadangkan agar Akta Antigangguan Seksual 2022 (Akta 840), dipinda untuk ditambah baik dalam menangani isu gangguan seksual di tempat kerja.
Sebelum ini, akta berkenaan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 8 Okt tahun lepas dan diwartakan 18 Okt tahun yang sama.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, di bawah akta itu, tindakan hanya boleh diambil terhadap individu yang melakukan kesalahan sahaja.