Perkenalkan Akta Parlimen Berpenggal Tetap, mudahkan pengundi, jamin kestabilan - Mujibu
Irfan Faruqi
Jun 19, 2023 22:22 MYT
Jun 19, 2023 22:22 MYT
KUALA LUMPUR: Akta Parlimen Berpenggal Tetap perlu diperkenalkan sebagai langkah merejuvenasi demokrasi Malaysia.
Felo Kursi Institusi Raja-raja Melayu Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mujibu Abd Muis berkata, Akta tersebut akan memudahkan pengundi merancang perjalanan untuk melaksanakan tanggungjawab mengundi, selain menjamin kestabilan sesebuah pentadbiran.
“Banyak dibincang dalam kalangan ahli akademik adalah memperkenal reformasi institusi dengan melaksanakan Akta Parlimen Berpenggal Tetap. Ini kerana, dengan mengetahui lebih awal tarikh pengundi perlu keluar mengundi membolehkan mereka mengatur cuti, kos dan sebagainya.
“SPR juga boleh mendapatkan perkenaan Raja-raja Melayu serta Yang di-Pertua Negeri mengikut masa yang ditetapkan, seterusnya mengumumkan tarikh pilihan raya lebih awal. Sekiranya kos pelaksanaan pilihan raya menjadi pertimbangan, maka boleh difikirkan untuk melaksanakan PRU dan PRN pada masa akan datang secara serentak bagi menjimatkan semua kos berkaitan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Isnin.
Jelas Mujibu lagi, dengan Akta Parlimen Berpenggal Tetap ini juga, ia mampu menyuburkan demokrasi sekiranya ia menetapkan pengasingan pelaksanaan PRU dan PRN.
Pengasingan tersebut bertujuan membolehkan semak dan imbang melalui mekanisme pilihan raya separuh penggal yang boleh mewujudkan kerajaan yang lebih responsif pada masa akan datang.
Langkah ini juga menurut beliau boleh mengelakkan fenomena kelesuan politik sehingga pengundi memilih untuk tidak menyempurnakan tanggungjawab mengundi tidak berulang lagi.