Perkenal silibus Pendidikan Kecemasan Keselamatan seawal tadika

Afiezy Azaman
September 12, 2019 12:41 MYT
Kanak-kanak perlu diajar bagaimana untuk tangani situasi kecemasan di rumah seawal peringkat tadika. - Gambar hiasan
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) digesa untuk memperkenalkan silibus mengenai Pendidikan Kecemasan Keselamatan kepada pelajar seawal mereka di peringkat tadika lagi.
Menurut Pakar Pediatrik (Neonatologi) Dr. Syed Abdul Khaliq Syed Abd Hamid, kanak-kanak boleh memainkan peranan ketika waktu kecemasan dan membolehkan mereka lebih berdikari pada waktu memerlukan.
“Kecemasan ini kita tidak jangka, ramai orang anggap kanak-kanak tidak mampu berbuat apa-apa namun sebenarnya mereka mempunyai kapasiti dan kemampuan yang memeranjatkan kita.
“Jika kita berikan mereka latihan dan pendidikan secara berkala mereka mampu tangani situasi kecemasan dengan baik,” katanya ketika menjadi tetamu dalam Program Awani Pagi terbitan Astro AWANI, pada Khamis.
Mengulas lanjut, Dr. Syed Abdul Khaliq berkata Pendidikan Kecemasan Keselamatan ini boleh diajar mengikut kemampuan umur.
"Situasi kecemasan di rumah seperti tersedak susu, tercekik makanan atau mainan, luka pendarahan dan luka melecur boleh diajarkan kepada kanak-kanak untuk mereka tangani sendiri.
“Sebagai contoh, umur kurang daripada tiga tahun mereka boleh gabungkan penggunaan perkataan tetapi tidak faham lagi situasi, umur empat tahun mereka boleh faham situasi, umur lima tahun boleh bezakan situasi itu kecemasan atau tidak," jelas beliau.
Sementara itu, Dr Syed turut menyatakan sikap ibu bapa yang tidak memikirkan tahap keselamatan rumah serta tidak mengajar anak-anak bagi menghadapi situasi kecemasan juga menjadi kebimbangan ketika ini.
“Rumah kita sering kita titik-beratkan keselamatan harta sehingga memasang jeriji untuk mengelakkan pencuri masuk, tetapi kita sering abaikan situasi kecemasan yang mungkin berlaku seperti kebakaran dan sebagainya.
“Kadang-kala kita sembunyikan kunci jeriji atau cuma ada satu saja kunci tersebut ini mendatangkan bahaya kepada anak-anak kerana mereka tidak dapat keluar jika kebakaran berlaku.
“Anak yang berumur tujuh tahun ke atas mereka sudah ada kemampuan untuk selamatkan diri dan selamatkan adik yang lain, jadi kita perlu beri mereka peluang terbaik untuk selamatkan diri sekiranya kita tiada di rumah,” ujar beliau.
Dalam pada itu, Dr Syed berkata kebanyakan ibu bapa tidak menekankan untuk anak-anak menghafal alamat rumah dan nombor telefon jiran atau keluarga terdekat, sedangkan perkara itu penting untuk dijadikan rujukan kepada pihak berkuasa atau hospital ketika kecemasan.
“Sistem di negara maju canggih, mereka boleh kenalpasti lokasi panggilan kecemasan itu dibuat dengan cepat, tetapi di Malaysia kita susah sebab itu ibu bapa perlu wajibkan anak-anak hafal alamat rumah dan bagaimana nak sampai ke rumah.
“Kita kena ajar anak-anak bagaimana nak gunakan ‘quick dial’ di telefon rumah atau telefon pintar supaya ia digunakan dengan efisien kerana diwaktu kecemasan setiap minit itu menentukan segalanya yang akan berlaku,” jelasnya.
Katanya, terdapat ramai pihak yang boleh membantu merialisasikan silibus Pendidikan Kecemasan Keselamatan agar situasi kecemasan juga boleh ditangani oleh kanak-kanak.
#awani pagi #Dr Syed Abdul Khaliq Syed Abd Hamid #Kanak-kanak #kecemasan #Kementerian Pendidikan Malaysia #KPM #latihan #Pakar Pediatrik Neonatologi #pelajar #Pendidikan Kecemasan Keselamatan #silibus #tadika
;