Perkenal Beras Putih Malaysia MADANI bukti komitmen kerajaan tangani masalah rakyat

Bernama
Februari 15, 2024 21:30 MYT
Pengenalan Beras Putih Malaysia MADANI diumum Pengerusi Task Force (Kluster Makanan) Majlis Tindakan Kos Sara Hidup Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, semalam. - Gambar fail/Sinar Harian
KUALA LUMPUR: Pengenalan Beras Putih Malaysia MADANI, satu insiatif berpandangan jauh dan membuktikan keazaman kerajaan dalam menyelesaikan isu rakyat tanpa mengambil masa yang panjang.
Presiden Persatuan Pengilang Beras SPB Melayu Kedah-Perlis Marzukhi Othman berkata pengenalan beras kategori 'tunggal' itu akan memberikan suatu 'keharmonian' kepada pengguna yang sebelum ini berdepan harga berbeza bergantung kepada kualiti Beras Putih Tempatan (SST) dan Beras Putih Import (SSI) masing-masing.
"Lepas ini, semua akan gembira beras hanya satu gred. Kita tidak perlu lagi bayar lebih untuk makan beras putih import," katanya kepada Bernama.
Pengenalan Beras Putih Malaysia MADANI yang dijangka berada di pasaran mulai 1 Mac dengan harga sekampit beras 10 kilogram (kg) RM30 dan sekampit 5kg (RM15.50) itu diumum Pengerusi Task Force (Kluster Makanan) Majlis Tindakan Kos Sara Hidup Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, semalam.
Syed Abu Hussin dilapor berkata ketetapan itu dibuat kerajaan selepas mengambil kira tiada kenaikan harga beras putih selama 18 tahun dan penetapan harga siling Beras Putih Malaysia MADANI itu juga muncul sebagai mekanisme menoktahkan tindakan pemanipulasian bekalan beras putih tempatan.
Ini bermakna tiada lagi kategori SST dan SSI melainkan Beras Putih Malaysia MADANI sebagai kategori tunggal dan untuk itu, semua pengilang beras akan menggunakan pelabelan dan pembungkusan kampit beras yang akan diselaraskan bagi penjualan Beras Putih Malaysia MADANI itu.
Mengulas lanjut, Marzukhi yang juga Pengarah Urusan Kumpulan Kilang Padi Dibuk Sdn Bhd mencadangkan agar harga jualan Beras Putih Malaysia MADANI itu lebih bersifat dinamik, bagi menampung kenaikan harga belian (industri) beras putih import yang menjadi isu global.
Mengalu-alukan inisiatif tersebut, Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH) Muhammad Fuad Yaacob melihat keputusan kerajaan memperkenalkan kategori tunggal bagi beras putih itu, sebagai langkah tepat dalam menangani isu manipulasi harga dan bekalan beras negara.
Beliau bagaimanapun mahukan penjelasan lanjut tentang bagaimana inisiatif itu akan memberi impak kepada golongan pesawah, terutama dari segi harga belian padi bagi mengimbangi harga jualan Beras Putih Malaysia MADANI berkenaan.
Perkara sama disuarakan Presiden Persatuan Pengguna Kedah (CAKE) Mohamad Yusrizal Yusoff yang berpendapat pengenalan beras itu lebih sesuai bagi penyelesaian jangka masa pendek.
"Kalau jangka masa panjang mungkin kerajaan perlu rancang dari segi akta dan sistem kawal selia," katanya menambah inisiatif ini pastinya dapat memberi kelegaan kepada semua pihak dari segi implementasi dan kualiti beras yang akan ditawarkan kelak.
-- BERNAMA
#cake #beras putih import #isu global #golongan pesawah
;