Perkembangan media sosial beri kesan kepada warisan budaya

Bernama
Ogos 13, 2017 16:33 MYT
Perkembangan media sosial memberi kesan kurang elok kepada warisan budaya di negara ini, kata Timbalan Menteri Komunikasi Dan Multimedia Datuk Jailani Johari.
Perkembangan media sosial memberi kesan kurang elok kepada warisan budaya di negara ini, kata Timbalan Menteri Komunikasi Dan Multimedia Datuk Jailani Johari.
Beliau berkata masyarakat kini lebih terarah untuk berkomunikasi dalam talian berbanding secara bersemuka.
"Perkembangan teknologi memiliki implikasi dua cabang dalam perkembangan sesebuah negara dan ketamadunan manusia... Boleh jadi positif dan sebaliknya. Ia juga memberi ruang untuk kita lebih terdedah dengan budaya asing secara meluas.
"Cara baharu berkomunikasi ini boleh menyebabkan penurunan tahap keyakinan seseorang individu untuk menyuarakan pandangan di khalayak umum lantas mampu meruntuh secara perlahan budaya berpidato di hati masyarakat," katanya ketika berucap pada perasmian Pertandingan Akhir Pidato Negaraku Peringkat Kebangsaan 2017 di sini, hari ini.
Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Datuk Ibrahim Abdul Rahman dan Pengetua Politeknik Port Dickson Roslee Yahya.
Mengulas lanjut, Jailani berkata dalam era globalisasi, telah mewujudkan dunia Internet tanpa sempadan.
"Di sebalik kehebatan dunia Internet tanpa sempadan ini, kita berdepan dengan cabaran media sosial yang menjadi platform utama dan paling mudah dalam mempengaruhi pemikiran rakyat.
"Banyak contoh dapat kita lihat yang mana rakyat lebih mudah mempercayai maklumat yang dipaparkan dalam media sosial tanpa menyelidik kesahihan maklumat tersebut terlebih dahulu...contohnya berlaku di negara timur tengah," katanya.
Pada majlis itu, Jailani turut menyampaikan hadiah kepada mahasiswi Universiti Malaya, Kuala Lumpur, Tay Yih Yih, 23, yang dinobatkan sebagai juara pertandingan pidato itu.
Tay yang berasal dari Melaka dan merupakan individu tunggal bukan Melayu pada pertandingan akhir pidato itu mengalahkan empat pencabarnya.
Beliau membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000, piala pusingan, piala iringan dan sijil penyertaan.
Pidato Negaraku yang bermula sejak Mac lepas disertai seramai 556 peserta yang bersaing di peringkat daerah dan negeri manakala juara setiap negeri kemudiannya akan bertanding di peringkat separuh akhir.
-- BERNAMA
#Datuk Jailani Johari #media sosial #warisan budaya
;