Perkembangan inkues kematian William Yau

Astro Awani
Mac 20, 2013 23:24 MYT
Koroner Mohd Hezri Shaharil yang mendengar inkues berkenaan, melawat lokasi kanak-kanak itu dilaporkan hilang di jalan Putra Mahkota, Putra Heights, Subang Jaya.
Beliau tiba dengan diiringi timbalan pendakwa raya, Lee Keng Fatt dan peguam Goh Kim Lian, mewakili keluarga William.
Lawatan turut disertai pegawai polis dari ibu pejabat polis daerah Subang Jaya, ASP Mohd Zainal Abdullah dan beberapa anggota polis lain.
Hadir sama, bapa William, Yau Kok Kang, 32, dan ibu kanak-kanak malang berusia enam tahun itu, Goh Ying Ying, 26.
Dalam lawatan 20 minit itu, Mohd Hezri dibawa melihat kedudukan dan keadaan longkang yang ditemui pada jarak lima meter dari tempat bapa mangsa meletakkan kereta.
Koroner itu juga dibawa melawat sebuah kedai elektrik yang disinggah ibu bapa William, serta satu lagi longkang kira-kira 200 meter dari kedai elektrik berkenaan.
Mayat William ditemui pada 24 jan lepas di jeti Kampung Sungai Sireh selepas dilaporkan hilang pada 16 Jan.
Prosiding inkues akan disambung selama tiga hari mulai 22 April.
#mati #Subang Jaya #William Yau
;