Perkembangan hari ke-18 Ops Daulat

Aizat Sharif
Mac 22, 2013 23:19 MYT
Polis telah menyiasat insiden yang berlaku di Kampung Kembara Sakti, Lahad Datu namun masih tidak dapat memastikan insiden itu ada kaitan dengan pengganas atau tidak.
Ini berikutan susulan sebuah rumah di kampung itu yang dijilat api pada malam Khamis dan pihak berkuasa mempercayai kejadian tersebut lebih menjurus kepada kecuaian pemilik rumah tersebut.
Dalam satu sidang media di Lahad Datu, Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Tan Kok Lian mengesahkan kejadian tersebut namun menafikan adanya tembak menembak berlaku pada kejadian itu.
Sehingga kini, tiada petunjuk yang kukuh menunjukan kejadian itu berpunca dari angkara pihak pengganas.
Pihaknya telah meletakan beberapa anggota keselamatan di kampung itu demi untuk meyakinkan penduduk tentang faktor keselamatan.
Sehingga hari ini, jumlah pengganas yang berjaya ditewaskan masih lagi kekal sebanyak 63 orang manakala mayat musuh yang telah dibawa keluar dari kawasan konflik juga kekal dengan 30 mayat.
Jumlah anggota keselamatan negara yang gugur di medan pertempuran juga masih lagi tidak berubah iaitu sebanyak 10 orang.
Dalam masa yang sama juga, pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) bersama-sama dengan pegawai pejabat daerah telah mula membuat penilaian kerosakan harta benda di kawasan-kawasan terlibat di Lahad Datu bagi mentaksirkan jumlah kerugian yang dialami oleh mangsa.
Dalam masa yang sama juga, Jamalul Kiram III yang mendakwa dirinya sebagai Sultan Sulu berkata pendakwaan keatas lapan warga Filipina atas tuduhan pengganas dan melancarkan perang terhadap Yang diPertuan Agong adalah “tidak sah” atas alasan Malaysia tidak ‘memiliki’ Sabah.
Namun, dakwaan Jamalul Kiram III telah disangkal dan diberi amaran oleh Peguam Negara Tan Sri Gani Patail yang mengatakan bahawa Jamalul Kiram III juga akan didakwa atas tuduhan yang sama andainya dia menjejakan kaki ke Sabah.
Malah beberapa peguam dan pengamal undang-undang turut bersetuju dengan tuduhan yang dikenakan oleh kerajaan Malaysia terhadap lapan suspek pengganas yang dihadapkan ke mahkamah pada Khamis.
#Kampung Kembara Sakti #Lahad Datu #pengganas #polis #Sabah #Tan Sri Gani Patail
;