Perkembangan ekonomi bantu tingkat kemasukan ke prasekolah

Bernama
Mac 24, 2018 20:00 MYT
Contoh terbaik daripada impak ekonomi tersebut adalah pertambahan kemasukan kanak-kanak ke prasekolah. - Gambar hiasan
Kejayaan negara mencatat pertumbuhan ekonomi 5.9 peratus pada 2017 membuktikan kemampuan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menerajui negara, kata Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid.
Beliau berkata lebih utama, laporan yang dikeluarkan Program Tranformasi Negara turut menunjukkan peningkatan sektor swasta kepada 68 peratus.
"Ini secara tidak langsung memberi kesan positif terhadap pelbagai institusi lain termasuk pendidikan," katanya.
Beliau ditemui selepas merasmikan Program Turun Padang Pengurusan Tertinggi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) ke daerah Kulim-Bandar Baharu di sini pada Sabtu.
Katanya contoh terbaik daripada impak ekonomi tersebut adalah pertambahan kemasukan kanak-kanak ke prasekolah.
Ia adalah antara kejayaan dalam memupuk kesedaran masyarakat mengenai kepentingan pendidikan awal kanak-kanak berusia empat, lima dan enam tahun ke prasekolah meningkat.
"Ini terbukti dengan pertambahan kemasukan ke prasekolah iaitu di sekolah kebangsaan, KEMAS, Perpaduan dan swasta yang berdaftar dengan kementerian," katanya.
Dalam pada itu, KPM turut menyerahkan peruntukan sejumlah RM2.6 juta kepada Pejabat Pendidikan Daerah Kulim bagi tujuan pembangunan dan penyelenggaraan 119 sekolah di seluruh daerah ini.
-- BERNAMA
#ekonomi #Kanak-kanak #Kulim #Mahdzir Khalid #Najib Razak #pendidikan #prasekolah #Program Tranformasi Negara #sekolah