Perkemas semula polisi berkaitan keselamatan siber - Siraj Jalil

Pia Ernadya
Julai 19, 2024 19:41 MYT
Menurut Siraj, Orang ramai digalakkan untuk ada ilmu pengetahuan tentang keselamatan siber.
KUALA LUMPUR: Kerajaan memainkan peranan penting untuk menggubal semula polisi berkaiatan keselamatan siber supaya orang ramai akan lebih cakna tentang kepentingan penggunaan siber.
Menurut Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA), Siraj Jalil, dengan adanya kesedaran tentang isu ini, ia dapat mengurangkan rasa cemas dalam kalangan masyarakat.
"Sebab itu di Malaysia kita tengok ada perubahan polisi yang seiiring dengan keperluan mendesak berkaitan tentang keselamatan siber. (Dengan) adanya akta keselamatan siber, saya pasti sepatutnya kerajaan perlu memainkan peranan yang sangat penting untuk menggubal semula polisi yang perlu untuk menjamin keselamatan kita dalam penggunaan siber dalam masa hadapan.
"Isu yang sedang berlaku ini adalah akibat kerentanan dari sudut penyediaan perkhidmatan siber itu sendiri yang mana ia juga diguna pakai dalam rangkaian Microsoft dan mengakibatkan keseluruhan rangkaian yang menggunakan Falcon Sensor itu bermasalah," katanya ketika bercakap kepada Astro AWANI pada Jumaat.
Tambahnya lagi, dari sudut pengguna juga, orang ramai digalakkan untuk ada ilmu pengetahuan tentang keselamatan siber agar ia tidak menimbulkan perasaan takut atau cemas dalam kalangan pengguna.
"Dari sudut pengguna, sepatutnya juga kena ada ilmu yang penting tentang keselamatan siber sebab kalau tak ada ilmu, ia akan terus (mencetus) panik dalam kalangan pengguna.
"Cuma kita berharap pihak agensi keselamatan siber negara dapat mengeluarkan kenyataan bagi memberikan pandangan dan fakta yang lebih jelas kepada pengguna," ujarnya.
Terdahulu, perisian yang dibangunkan syarikat peneraju keselamatan siber global, CrowdStrike mengalami gangguan siber terbesar sehingga menjejaskan perjalanan operasi di beberapa negara termasuk Singapura, Australia dan Amerika Syarikat.
Gangguan itu menyaksikan mesin pelayan dan juga komputer berdepan isu BSOD ataupun Blue Screen of Death yang memaksa penutupan sesebuah komputer.
Manakala, Agensi Keselamatan Cyber Negara (NACSA) memaklumkan gangguan global yang menjejaskan pengguna Microsoft, telah memberi kesan yang ketara di seluruh dunia termasuk di Malaysia.
Menurut agensi tersebut, gangguan itu memberi kesan kepada pelbagai sektor kritikal seperti saluran televisyen, lapangan terbang dan bank.
"Ia termasuk operasi di Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) telah terjejas, menyebabkan proses daftar masuk manual dan masa menunggu yang dilanjutkan.
Sehubungan itu,NACSA mengesyorkan beberapa langkah termasuk, kekal berwaspada, selain mengurangkan risiko.
Dalam masa sama, NACSA sedang dalam proses mengumpul statistik yang lebih terperinci dan akan memberikan kemas kini selanjutnya apabila.
#NACSA #keselamatan siber #polisi keselamatan siber #kerajaan #lapangan terbang
;