Perkelahan berakhir tragedi, dua pelajar UniKL lemas ketika beriadah

Umavathi Ramayah
Disember 30, 2022 15:44 MYT
Norazam berkata, jentera tiba di lokasi kejadian pada pukul 12.22 selepas pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu kira-kira pukul 12 tengah hari. - Gambar JBPM Selangor
KUALA KUBU BHARU: Perkelahan tujuh pelajar Universiti Kuala Lumpur (UniKL) di sini berakhir tragedi apabila dua daripada mereka lemas ketika bermandi di Sungai Chiling Peretak, di sini, tengah hari Jumaat.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Datuk Norazam Khamis berkata, jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu tiba di lokasi kejadian pada pukul 12.21 tengah hari selepas pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu kira-kira pukul 12 tengah hari.
"Sebelum pasukan bomba tiba, mangsa pertama sudah dibawa naik rakan-rakan mereka sementara mangsa kedua ditemukan pada pukul 12.45 tengah hari ketika operasi pencarian dilakukan," katanya dalam kenyataan di sini, pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Norazam berkata, mangsa dikenali sebagai Shaik Rahim Khan Salauddin dan Muhammad Arief Haiqal Azhan masing-masing berusia 21 tahun.
Menurutnya, kesemua pelajar itu dipercayai tiba di lokasi pagi Jumaat.
#Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia #pelajar lemas #berkelah #pelajar universiti
;