Perkasakan ekosistem untuk wanita berkeluarga bekerja - Tricia Yeoh
Israr Khalid
Mac 8, 2022 07:50 MYT
Mac 8, 2022 07:50 MYT
KUALA LUMPUR: Tanggungjawab menguruskan keluarga tidak sepatutnya diletakkan pada bahu wanita sahaja, mereka juga mempunyai hak untuk bekerja dan berjaya.
Maka tegas Ketua Pegawai Eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Tricia Yeoh, perlunya ada sistem sokongan yang kuat, di pihak keluarga dan di tempat kerja, untuk membolehkan wanita memanfaatkan kebolehan serta mengembangkan potensi sebenar mereka.
“Kedua-dua ibu dan bapa boleh memegang malah mempunyai peranan yang sama penting untuk menjaga keluarga.
“Apa yang sangat penting sebenarnya adalah ekosistem di mana ibu yang bekerja boleh bergantung kepada sistem sokongan sedia ada seperti suami atau ibu bapa mereka sendiri,” katanya.
Dalam hal ini kata Tricia, perbincangan tentang kos menghantar anak di pusat penjagaan diperbanyakkan supaya ia dapat menghasilkan penyelesaian yang akhirnya dapat meringankan beban wanita bekerja untuk menguruskan keluargannya.
Baginya, perkhidmatan penjagaan anak ketika ini rata-ratanya agak mahal, pada masa sama sudah wujud inisiatif seperti mewujudkan pusat jagaan di pejabat-pejabat swasta mahupun kerajaan.
Namun ia masih belum cukup.
“Sebab pada akhirnya apabila wanita itu mungkin sudah ada ramai anak, kos yang perlu ditanggungnya menjadi lebih besar untuk hantar anak ke pusat jagaan berbanding ibu itu menjaga anak-anaknya sendiri di rumah.
“Lebih banyak kajian dan penyelidikan harus dilaksanakan untuk memastikan bahawa kos pembiayaan penjagaan anak boleh dikurangkan,” jelasnya lagi.
Dengan itu, cabaran yang dihadapi oleh para ibu dapat dikurangkan sekaligus mereka dapat memberikan tumpuan untuk mendaki tangga karier dan mencapai impian masing-masing.
Tonton temu bual penuh beliau bersama hos Essan Yahya dalam program Agenda AWANI, di sini: