Perkasa wanita untuk segera capai negara maju
Astro Awani
Mac 8, 2022 19:48 MYT
Mac 8, 2022 19:48 MYT
KUALA LUMPUR: Golongan wanita terus diperkasakan agar penglibatan kumpulan ini ke pasaran buruh lebih meluas bagi mencapai Malaysia sebagai status negara maju.
Dalam masa sama, penglibatan mereka ini amatlah membantu pembangunan negara terutamanya segmen ekonomi.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TalentCorp, Thomas Mathew berkata, bagi merealisasikan hasrat ini, agensi berkenaan akan melancarkan Bulan Pemerkasaan Wanita (WEM) 2022 bersempena sambutan Hari Wanita Sedunia dengan membawa hashtag #BreakTheBias.
“Dalam program hampir sebulan bermula hari ini, TalentCorp akan menganjurkan sesi webinar dan program kesedaran tentang kesaksamaan jantina.
“Kami mengalu-alukan wanita pelbagai latar belakang, tidak kira daripada golongan kurang bernasib baik, bakat muda dan baru, golongan profesional dan wanita dalam kumpulan kepimpinan untuk menyertai program ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Program WEM 2022 selama sebulan ini akan menampilkan antaranya Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), Datuk Suriani Ahmad; Pengarah Urusan T. Thavalingam & Co, Datuk Thavalingam C. Thavarajah; Pensyarah Perakaunan dari Loughborough University, United Kingdom, Dr Khairul Ayuni; Presiden Asia Schlumberger, Amy Chua dan Presiden dan Pengasas Society for Equality, Respect And Trust for All (SERATA), Sabrina Aripen.
Kaum wanita yang berminat boleh menyertai program ini secara percuma dengan hanya mendaftar penyertaan menerusi www.talentcorp.my/womenempowermentmonth.
Katanya, program ini seiring matlamat Wawasan Kemakmuran Bersama Malaysia 2030 dan Rancangan Malaysia ke-12 bagi mencapai 59 peratus Kadar Penyertaan Tenaga Buruh Wanita (FLFPR) menjelang 2025.
“Asas ini yang membuat TalentCorp meneruskan advokasi untuk wanita dalam tenaga kerja,” katanya lagi.
Pada perasmian ini juga, TalentCorp telah menandatangan lima memorandum persefahaman (MoU) bersama Asia School of Business, Tulips Movement Malaysia, LTT Global Communications, Lean In Malaysia and Girls in Tech Kuala Lumpur.
Kerjasama dengan rakan strategik utama ini akan meluaskan usaha bagi memastikan wanita daripada pelbagai latar belakang kehidupan dapat berkembang maju dalam bidang diceburi tanpa berat sebelah di tempat kerja dan bidang pekerjaan.
Dalam perkembangan sama, TalentCorp juga menubuhkan Majlis Pakar Agenda Wanita (WACE) di mana pakar berkumpul untuk mengusahakan inisiatif bagi menyokong tenaga kerja wanita Malaysia.