Perkasa usaha atasi masalah kurang nutrisi dalam masyarakat Orang Asli
Bernama
September 29, 2019 05:09 MYT
September 29, 2019 05:09 MYT
Kementerian Kesihatan akan memperkasa Program Pemakanan Kurang Zat Makanan (PPKZM) bagi mengatasi masalah kekurangan nutrisi dalam kalangan kanak-kanak Orang Asli.
Timbalan Menterinya Dr Lee Boon Chye berkata masalah pemakanan khususnya dalam aspek nutrisi adalah antara perkara yang perlu diakui masih berlaku dalam kalangan masyarakat itu, walaupun PPKZM telah lama dilaksanakan.
Selain itu, menurutnya Program Community Feeding yang melibatkan pemberian makanan tambahan dan bantuan bakul makanan juga telah dilaksanakan sepenuhnya sejak tahun 2013 lagi di kawasan pendalaman yang didiami masyarakat Orang Asli.
"Mereka yang menerima bantuan ini adalah dari kalangan kanak-kanak yang mengalami masalah kekurangan zat makanan untuk tempoh tertentu sehingga berat mereka adalah yang sepatutnya.
"Bagaimanapun, masalah ini mungkin terus berlanjutan kerana kanak-kanak itu berkongsi bantuan yang diterima dengan ahli keluarga yang lain," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Pos Medik Orang Asli di Kampung Dayok, Pos Lenjang di sini, pada Ahad.
Turut hadir ialah Timbalan Pengarah Jabatan Kesihatan Pahang Datuk Dr Mohamed Sapian Mohamed dan Presiden Persekutuan Persatuan Pengamal Perubatan Swasta Malaysia (FPMPAM) Dr Steven Chow.
Dr Lee menambah kanak-kanak terpilih dalam program itu akan ditentukan sama ada dalam kategori kurang zat makanan (KZM) teruk atau sederhana dengan sasaran pemulihan antara tiga ke enam bulan, bergantung kepada tahap mereka.
"Untuk kes yang dilihat teruk, mereka akan menerima bantuan PPKZM yang dikenali sebagai Pakej 13 Bakul, yang melibatkan pemberian susu pedisure serta multivitamin, supaya zat itu benar-benar diterima kanak-kanak terlibat," katanya.
Manakala bagi Program Community Feeding, Dr Lee berkata antara penambahbaikan yang perlu dilakukan ialah memastikan makanan yang disediakan diterima kanak-kanak Orang Asli, kerana ada antara ibu bapa mempunyai kekangan untuk menghantar anak ke pusat pemberian yang ditetapkan.
Dr Lee juga memaklumkan untuk program PPKZM di daerah Lipis, 179 kanak-kanak menerima manfaat itu termasuk 31 yang dikategorikan sebagai KZM teruk.
Mengulas mengenai program hari ini, Dr Lee berkata kerajaan sentiasa mengalu-alukan sumbangan badan bukan kerajaan seperti FPMPAM dalam meningkatkan aspek kesihatan masyarakat, khususnya yang berada di kawasan pendalaman.
Sementara itu Dr Steven pula menyifatkan Pos Medik itu yang merupakan yang pertama seumpamanya dibangunkan di kawasan penempatan Orang Asli dan akan dikendalikan sendiri belia di situ sebagai kejayaan kepada usaha FPMPAM memberi latihan asas perubatan sejak Mei lepas.
"Seramai 22 belia yang menerima latihan akan mengendalikan pos medik ini sepenuhnya dengan pemantauan daripada wakil FPMPAM yang datang ke sini mengikut giliran setiap bulan.
"Pos medik ini juga dilengkapi dengan kemudahan solar kerana akan beroperasi 24 jam dan diharapkan usaha ini dapat diteruskan di penempatan Orang Asli lain pada masa akan datang dengan perancangan terdekat di Pos Senderut (Lipis)," katanya.
Dr Steven juga berharap lebih banyak universiti khususnya pensyarah dalam bidang perubatan usaha menyertai mereka dalam usaha tersebut yang bertujuan memastikan tiada individu ketinggalan dalam perkhidmatan perubatan.
-- BERNAMA
#community feeding
#kekurangan nutrisi
#Kementerian Kesihatan
#Lee Boon Chye
#lipis
#nutrisi
#Orang Asli
#pedalaman
#ppkzm