PERKASA tolak hadiri Dialog Perpaduan kerana tidak iktiraf MKPN
Astro Awani
Februari 22, 2014 07:39 MYT
Februari 22, 2014 07:39 MYT
Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) menolak jemputan untuk menghadiri sesi Dialog Perpaduan: Suara Akar Umbi anjuran Majlis Konsultasi Perpaduan Negara (MKPN) dan Institut Kajian Etnik Malaysia (KITA) yang bermula di lokasi pertama di Dewan Bahasa dan Pustaka pada Sabtu.
Setiausaha Agung PERKASA, Syed Hassan Syed Ali berkata mereka menolak jemputan menghadiri program tersebut kerana tidak mengiktiraf MKPN.
Beliau mengesahkan PERKASA telah dijemput secara rasmi untuk menghadiri dialog tersebut melalui faks yang diterimanya kelmarin.
"Kami (PERKASA) tidak iktiraf MKPN kerana dianggotai beberapa orang penggerak COMANGO yang memperjuangkan LGBT dan lain-lain perkara yang bercanggah dengan Islam dan Perlembagaan Persekutuan," katanya.
Katanya lagi, PERKASA percaya perpaduan di Malaysia hanya wujud jika ekonomi negara tidak dimonopoli oleh sesuatu kaum sahaja.
"Kami percaya perpaduan sepenuhnya juga akan wujud jika sekolah-sekolah hanya ada satu aliran sahaja. Jika sekolah satu aliran di utamakan, murid-murid yang berbagai kaum sudah boleh bergaul sesama mereka.
"Mana mungkin mereka kenal satu sama lain jika sekolah berasingan," katanya.
Syed Hassan juga menegaskan PERKASA percaya perpaduan negara hanya wujud jika undang-undang tegas diambil terhadap mereka yang pertikaikan Perlembagaan Persekutuan, menghina agama yang dianuti rakyat negara ini, menghina Raja-Raja Melayu dan sebagainya yang boleh mendatangkan ketegangan antara kaum.
Disebabkan perkara tersebut, beliau menjelaskan Perkasa melihat sesetangah anggota MKPN tidak mampu memastikan perkara-perkara di atas dapat direalisasikan.
"Jadi, buat apa PERKASA buang masa untuk hadir ke majlis dialog itu," katanya lagi.
Katanya PERKASA juga kesal kerana rampasan Bible bahasa Melayu yang menggunakan Kalimah Allah di Selangor menjadi perkara penting kepada MKPN.
Sedangkan katanya, terma dan rujukan MKPN menjelaskan isu-isu antara agama tidak dibincangkan dalam MKPN kerana ianya telah mempunyai platformnya sendiri.
"Dalam terma dan rujukan MKPN menyatakan isu-isu agama telah mempunyai Jawatankuasa Mempromosi Persefahaman dan Keharmonian Antara Penganut Agama ( JKMPKA ) yang telah ditubuhkan oleh Jemaah Menteri pada 24 Februari 2010.
"Bagaimanapun JKMPKA juga ditolak oleh NGO-NGO Islam sebelum ini.
"Tetapi isu Kalimah Allah telah menjadi perkara pertama dibincangkan oleh ahli MKPN dan mengeluarkan kenyataan pertama MKPN mengkritik JAIS (Jabatan Agama Islam Selangor) apabila Bible Melayu yang ada Kalimah Allah dirampas di Selangor baru-baru ini.
"Ini menunjukan MKPN tidak tegas dalam menuruti terma dan rujukan MKPN dan jelas berat sebelah bila isu agama yang tidak berpihak kepada majority anggotanya," katanya.
Kritikan MKPN, jelas Syed Hassan, jelas membela penganuti lain dan memperlekehkan undang-undang yang melindungi kepentingan Islam.
"Maka sudah jelas di peringkat awal lagi MKPN bertindak secara tidak adil dan tidak jujur dalam tugas yang diamanahkan," jelasnya.