Perkasa tidak terganggu dengan kecaman, kata Ibrahim Ali

Astro Awani
Januari 20, 2015 16:59 MYT
IBRAHIM: Sokongan Tun Mahathir cukup bermakna dan begitu istimewa kerana beliau ialah tokoh negarawan terbilang.
Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) hari ini melalui Presidennya Datuk Ibrahim Ali menyampaikan rasa terharu dan menyanjung tinggi atas sokongan serta kepercayaan bekas perdana menteri Tun Mahathir Mohammad kepada asas perjuangan pertubuhan tersebut.
Melalui kenyataan media tersebut, Ibrahim menyatakan bahawa sokongan itu cukup bermakna dan begitu istimewa kerana ia datang dari seorang tokoh negarawan terbilang.
“Kita semua tahu pendirian beliau yang tegas dan tepat. Tidak mudah bagi Tun Mahathir untuk beri sokongan kepada satu-satu pihak.
“Penglibatan Tun Mahathir dengan Perkasa bermula tahun 2009 apabila beliau dijemput untuk melancar dan merasmikan Persidangan Agung Tahunan Perkasa yang pertama,” kata Ibrahim yang menyifatkan Tun Mahathir sebagai pendorong dan perangsang buat Perkasa.
Menurut beliau, Tun Mahathir ialah tokoh pertama yang menerima Anugerah Bintang Pahlawan Pribumi Perkasa Negara.
“Perkasa tidak akan terganggu dengan kecaman demi kecaman, fitnah demi fitnah. Namun (Perkasa) akan terus berjuang ibarat membujur lalu melintang patah demi membela dan memperkasa Islam, pribumi, keselamatan rakyat dan negara.
Dalam kenyataan itu, Ibrahim turut mengakui kata-kata Tun Mahathir bahawa kewujudan Perkasa adalah dari rentetan kemunculan puak ektremis dan rasis golongan bukan Melayu, sama parti politik, NGO, komuniti media sosial yang selalu memutar belit kenyataan, pemilik akaun Facebook yang menggunakan nama samaran serta individu-individu chauvinist.
Tambah Ibrahim, golongan itu terus menerus menghina Islam, memperlekeh Raja-Raja Melayu dan mempersenda orang Melayu seterusnya boleh menggugat keselamatan negara namun semua itu dilakukan kononnya atas nama demokrasi dan hak asasi manusia.
“Bila Perkasa bertindak balas, mereka bertubi-tubi menyerang Perkasa dengan melabelkan kami ‘rasis’ dan ‘ekstremis’,” kata Ibrahim yang menyatakan golongan tersebut 'beruntung' dan naik tocang kerana mendapat sokongan dari segelintir Melayu liberal yang mengenepikan kepentingan bangsanya sendiri.
#bangsa #Ibrahim Ali #Melayu #perjuangan #PERKASA #tun mahathir mohammad
;