Perkasa seru rakyat Malaysia buang sifat materialisme melampau
Media Statement
Ogos 30, 2016 16:56 MYT
Ogos 30, 2016 16:56 MYT
PERUTUSAN PRESIDEN PERKASA SEMPENA SAMBUTAN HARI KEMERDEKAAN MALAYSIA KE-59 TAHUN
1. Assalamualaikum warahmatullah wabarakatuh dan salam sejahtera serta salam perjuangan.
2. Perkasa mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan Malaysia yang ke 59 tahun dengan harapan semoga negara kita sentiasa berada dalam rahmat dan keredhaan Allah s.w.t.
3. Berpaksikan kepada tema 'SEHATI SEJIWA', Perkasa berharap semoga sambutan Hari Kemerdekaan ini bukan sekadar dilunakkan pada slogan yang dicipta setiap tahun semata-mata, tetapi yang lebih besar daripada itu, kita sebagai rakyat Malaysia harus bersatu hati dan tindakan dalam mempertahankan negara Malaysia lebih daripada pemimpinnya.
4. Namun saya sebagai pemimpin sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang terbesar di negara ini, sangat terkesan di saat kita menyambut Hari Kemerdekaan yang amat bersejarah ini, di saat inilah rakyat Malaysia dilihat semakin hilang jati diri, terhakis maruah bangsa dan hilang semangat patriotik serta daya juang yang telah dipasakkan melalui darah dan air mata oleh pejuang-pejuang bangsa serta pejuang kemerdekaan terdahulu.
5. Jangan kita lupa, ketika mengingati nama Tunku Abdul Rahman Al Haj dan rakan-rakannya sebagai pelopor kemerdekaan negara, harumkan jua nama-nama pejuang bangsa terdahulu yang antaranya Datuk Maharaja Lela, Dato Sagor, Abdul Rahman Limbong, Tok Janggut, Mat Kilau, Tok Ku Paloh, Rosli Dobi, Dato Salleh dan ramai lagi. Tidak lupa juga pencetus dan pejuang kemerdekaan yang dikenali 7 orang Muar yang digerakkan oleh Datuk Abdul Rahman Muhammad Yasin, Datuk Hj Hassan Yunus (bekas mufti Johor), Cikgu Kosai sebagainya yang sanggup mengorbankan darah, titik peluh dan kehidupan mereka bagi mengangkat maruah bangsa dan jatidiri serta kesucian agama melalui perjuangan yang sangat mulia yang dinamakan KEMERDEKAAN.
6. Tapi kini perjuangan mulia ini kini semakin terhakis lantaran rakyat negara ini kekadang tanpa mengira apa pun kedudukan mereka, sama ada dalam dunia politik, perniagaan, pendidikan, sosial dan sebagainya, dilihat lebih memperjuangkan kepentingan diri dengan budaya ketamakan kebendaan (materialisme) yang melampau sehingga mereka terlupa makna erti kemerdekaan sebenarnya.
7. Seharusnya negara kita Malaysia sudah berada jauh melangkah ke hadapan melalui dasar-dasar yang telah dirangka bersama oleh pemimpin-pemimpin yang terdahulu, seiring dengan usia sambutannya ke 59 tahun. Namun martabat negara kita kini tidak senada bersama erti kemerdekaan apabila negara Malaysia kini seolahnya hilang maruah dan harga sebuah negara merdeka, terutamanya di peringkat antarabangsa, ekoran terpalit dengan pelbagai isu tuduhan rasuah, penyalahgunaan kuasa peringkat tertinggi yang belum dibersihkan dan persepsi skandal kewangan yang terbesar dalam sejarah, sehingga negara Malaysia kini dibebani hutang lebih daripada RM800 billion. Satu angka hutang yang sentiasa bertambah setiap tahun.
8. Apatah lagi kehidupan rakyat semakin tertekan lantaran dibebani dengan kenaikan kos sara hidup yang semakin meningkat. Penghapusan subsidi beberapa keperluan asas. Masalah pengangguran. Masalah pemilikan rumah di kalangan generasi muda dan yang lebih membimbangkan ialah masalah ancaman keselamatan negara berikutan kegagalan pihak kerajaan mengekang serta mengawalselia kemasukan warga asing sama ada secara haram ataupun kerajaan sendiri meluluskan kemasukan pekerja asing dengan jumlah yang tidak munasabah yang akhirnya akan menimbulkan masalah dan jenayah.
9. Malangnya juga, setelah 59 tahun negara mencapai kemerdekaan, kita diperlihatkan betapa ikatan kontrak sosial semakin longgar antara rakyat berbilang kaum dan agama. Ada antara mereka sudah tidak lagi menghormati malah terang-terangan mempertikaikan Hak Islam dan Hak Melayu. Atas desakan inilah pihak kerajaan seakan tunduk pada desakan pihak berkenaan yang mengakibatkan sedikit demi sedikit Hak Keistimewaan Orang Melayu terhakis seperti Hak Biasiswa, Ekuiti Bumiputra, Tanah Rizab Melayu dan sebagainya, walaupun ia termaktub dalam Perlembagaan Negara. Mereka cuba mengajak kerajaan kini untuk melupa sejarah betapa tolak ansurnya orang-orang Melayu menerima 'pendatang asing' ini menjadi warga negara dan diberi kerakyatan Malaysia.
10. Saya tidak meletakkan masalah yang berlaku di negara dalam rangka meraikan kemerdekaan pada pihak kerajaan dan pihak yang berkuasa semata-mata tetapi jua pada rakyat yang sudah terhakis semangat juang dan hilang daya jati diri.
11. Ditambah pula dengan kedangkalan rakyat memahami makna sebenar 'kuasa rakyat' yang dipaksikan melalui hadith Rasullullah s.a.w.
'Barang siapa antara kamu melihat kemungkaran maka ubahlah dengan tangan, sekiranya tidak mampu, maka ubahlah dengan lidah dan sekiranya tidak mampu maka ubahlah dengan hati. Yang itulah selemah-lemah iman'.
12. Sebab itulah dalam memahami makna sebenarnya kemerdekaan, saya sangat tertarik untuk memetik satu ungkapan yang dinukil atas tinta emas yang datangnya dari seorang soldadu perang yang bernama Rabie' bin Amir. Dalam satu peperangan yang dikenali Perang Qhadasiyyah di zaman Saidina Umar Al Khatab R.A, beliau dipilih khusus mewakili Khalifah Umar Al Khatab R.A untuk bertemu Panglima Perang Kerajaan Parsi yang bernama Rustum bertujuan untuk memerdekakan negara Parsi atas nama Islam.
13. Ketika beliau memasuki istana Panglima Rustum dengan lembing dipacakkan atas permaidani indah Rustum untuk memperlihatkan maruah bangsa dan agama, lalu beliau ditanya oleh Panglima Parsi Rustum apa makna kemerdekaan ke atas kamu. Rabie' bin Amir menegaskan bahawa kemerdekaan sebenarnya 'membebaskan perhambaan manusia kepada manusia kepada perhambaan manusia hanya kepada Allah yang Esa'
14. Atas ungkapan bersejarah inilah, akhirnya Perkasa mengajak dan menyeru rakyat Malaysia, marilah kita meraikan dan menghayati 'Hari Kemedekaan Malaysia Yang Ke 59' ini yang bukan sekadar membebaskan negara dari cengkaman penjajah tetapi yang lebih besar ialah membebaskan rakyat ke arah ketamadunan negara bangsa yang lebih bermaruah.
15. Di samping itu jua, Perkasa mencadangkan agar kerajaan dapat membina 2 buah muzium yang berasingan. Satunya merakamkan sejarah 'Pejuang Bangsa' yang bermatian menentang kuasa penjajahan asing, sementara satu lagi mencatatkan sejarah 'Pejuang Kemerdekaan' yang mengetengahkan bukan sahaja pejuang kemerdekaan tetapi sejarah awalnya menentang penjajah hinggalah dipahatkan jua 7 orang Muar yang menentang Malayan Union atas kesilapan Sultan Johor dan raja-raja melayu menandatangani Surat Perjanjian Malayan Union.
16. Sekian wassalam.
MERDEKA!! MERDEKA!! MERDEKA!!
DATUK IBRAHIM ALI
Presiden
Perkasa Malaysia
30 Ogos 2016