Perkasa pertubuhan masyarakat sivil melalui sistem lebih berkoordinasi - Dr Jemilah
Madiha Abdullah
Julai 2, 2020 10:24 MYT
Julai 2, 2020 10:24 MYT
Kerjasama yang terjalin antara kerajaan, pihak swasta dan pertubuhan masyarakat sivil (CSO) merupakan kunci utama dalam kejayaan negara menangani wabak COVID-19 setakat ini.
Bagaimanapun, untuk memastikan pengurusan gerak kerja dan bantuan yang lebih cekap di masa depan, satu sistem yang lebih berkoordinasi perlu diwujudkan.
Menurut Penasihat Khas Perdana Menteri Mengenai Kesihatan Awam, Tan Sri Dr Jemilah Mahmood, biarpun kerajaan memikul tugas utama dalam mengendalikan COVID-19, tanggungjawab itu dilihat turut sama digalas pihak swasta dan masyarakat sivil.
"Sepanjang negara kita dilanda wabak ini, boleh nampak semua pihak mahu turun membantu. Tetapi dalam situasi ini, apa yang menjadi masalah adalah kerana tiadanya koordinasi.
"Tanpa koordinasi, kita bimbang sasaran bantuan kita tidak sampai ataupun akan ada beberapa kumpulan dan golongan yang memerlukan, tercicir daripada menerima bantuan," katanya.
Beliau berkata demikian sewaktu muncul dalam program bual bicara Temu Minda: Masyarakat Sivil Sebagai Rakan Kongsi Pembangunan di RTM, malam tadi.
Dr Jemilah yang juga Presiden Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (MERCY Malaysia) berkata, hubungan baik antara tiga pihak ini tidak akan muncul hanya melalui perjanjian yang tertulis di atas kertas, sebaliknya akan terjalin apabila adanya kerjasama di lapangan.
"Salah satu cara untuk memperkasakan CSO ialah dengan membawa setiap anggota masyarakat terbabit memainkan peranan.
"Contohnya wabak COVID-19, kita tidak akan dapat menanganinya jika hanya kerajaan yang bertungkus lumus tetapi rakyat tidak," katanya.
Pada masa sama, kata Dr Jemilah, kerajaan juga akan melancarkan Malaysian Humanitarian and Coordination Hub.
"Melalui hab ini, kita boleh bawa semua pihak, tidak kira kerajaan, CSO atau swasta, untuk melihat tindakan yang telah diambil dalam mengendalikan dan menangani COVID-19.
"Hab ini akan membolehkan data dikumpul, sekali gus menjadi bukti kukuh untuk kita kaji balik penambahbaikan yang diperlukan di masa depan," katanya.
Tambahnya, negara perlu mewujudkan satu sistem di mana semua pihak boleh melihat penanda aras atau bench mark terhadap kerja-kerja yang dilakukan.
"Ini penting kerana CSO banyak menerima dana daripada orang ramai. Jadi, penting untuk memastikan mereka tahu dana itu digunakan mengikut tujuannya," kata Dr Jemilah.
#COVID-19
#CSO
#Jemilah Mahmood
#kerajaan
#kesihatan
#koronavirus
#Malaysian Humanitarian and Coordination Hub
#masyarakat sivil
#mercy malaysia
#perubatan
#rakyat