Perkasa komuniti PPR, elak terjerumus menjadi setinggan bertingkat - Pengarah Program K2K

Irfan Faruqi
Oktober 30, 2024 22:18 MYT
Pemandangan PPR Sungai Bonus Kuala Lumpur berlatarbelakangkan pemandangan Kuala Lumpur. - Astro AWANI / Shahir Omar
KUALA LUMPUR: Intervensi perlu dilakukan dengan memperkasa komuniti di Projek Perumahan Rakyat (PPR) agar kawasan berpendudukan itu tidak terjerumus menjadi kawasan setinggan bertingkat.

Ringkasan AI
  • Perlu memperkasa komuniti di Projek Perumahan Rakyat (PPR) untuk mengelakkan kawasan tersebut menjadi setinggan bertingkat.
  • Inisiatif oleh ThinkCity untuk membantu keluarga B40 di PPR, bermula dari usaha semasa pandemik COVID-19 dan berkembang menjadi program kendiri komuniti untuk meningkatkan mutu kehidupan.
  • Kelab Intan Payung (KELIP)adalah kelab komuniti untuk ibu mengandung dan ibu dengan anak bawah 3 tahun, menyediakan ruang pendidikan dan aktiviti interaktif untuk memperkasa ibubapa mengenai tumbesaran anak-anak.

Pengarah Program K2K, Dr. Shahridan Faiez berkata keluarga dalam kalangan kumpulan B40 memerlukan pendekatan khusus untuk menyerlahkan potensi sebagai golongan masyarakat yang ada kekuatan tersendiri.
“Program K2K ini bermula dengan minat ThinkCity untuk menangani isu yang dihadapi keluarga B40 di perumahan awam.
“Kita dapati disebabkan oleh kepincangan dan kekangan pengurusan secara am, tahap kualiti kehidupan di Projek Perumahan Rakyat (PPR) ini semakin menurun.
“Sekiranya kita tidak melakukan sebarang intervensi, situasi akan menjadi lebih teruk. Ia akan membentuk setinggan bertingkat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Rabu.
Perkasa komuniti PPR, elak terjerumus menjadi setinggan bertingkat – Pengarah Program K2K
Tambah Shahridan, Program K2K bermula dari usaha untuk membantu penduduk di PPR yang terperangkap semasa pandemik COVID-19 yang berdepan tekanan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan hilang pekerjaan.
Program itu kita telah berkembang menjadi inisiatif kendiri komuniti untuk menambah baik mutu kehidupan di PPR masing-masing.
Antara lain ialah Kelab Intan Payung (KELIP) yang merupakan sebuah kelab komuniti yang diwujudkan khas untuk para ibu yang sedang mengandung atau mempunyai anak berumur 3 tahun ke bawah.
Menurut Ahli Forum Komuniti (FORKOM) Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang 1 dan Duta Kelab Intan Payung (KELIP), Noor Faraheen Mohd Jaafar, ibu bapa di Projek Perumahan Rakyat (PPR) diperkasa dengan ruang pendidikan mengenai tumbesaran anak-anak melalui aktiviti interaktif.
Jelasnya, playdate yang dijalankan membolehkan pakar menilai tahap kemahiran interaksi ibu bapa dengan anak-anak untuk ditambah baik.
“Dalam sesi playdate kita bawa juruterapi pertuturan yang bertemu dengan komuniti. Ada pelbagai pertanyaan yang mereka boleh saling berkongsi.
Playdate ini juga menyediakan ruang kepada ibu bapa bermain dengan anak berusia bawah tiga tahun, yang membolehkan kita menilai kemahiran interaksi antara ibu bapa dan anak-anak pada peringkat awal,” katanya.
Agenda AWANI: Program K2K | Usaha penduduk, PPR lebih berdaya huni
#pendidikan #PPR #B40
;