Perkasa kesedaran rakyat perlu jadi agenda negara hadapi bencana - MKN
Bernama
Disember 29, 2021 20:55 MYT
Disember 29, 2021 20:55 MYT
KUALA LUMPUR: Memperkasakan kesedaran orang ramai dalam menghadapi bencana perlu menjadi keutamaan dalam penambahbaikan pengurusan bencana negara termasuk banjir.
Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Majlis Keselamatan Negara (MKN) Datuk Rodzi Md Saad berkata berdasarkan pemerhatian setelah seminggu situasi banjir melanda negara sudah tiba masanya ketahanan rakyat atau community resilience diperkasakan.
"Dalam mendepani cabaran bencana, kita tidak boleh bergantung pada kerajaan semata-mata. Sudah tiba masanya kita gerakkan rakyat secara keseluruhan dan ia harus dijadikan agenda negara. Seperti juga COVID-19, sikap masyarakat dalam melaksanakan norma baharu amat dituntut, kalau tiada kesedaran, sudah tentu hasrat untuk melawan COVID-19 akan terjejas.
"Dalam konteks banjir juga, jika setiap ketua isi rumah tahu tindakan yang perlu diambil jika air naik satu kaki (0.3 meter), dua kaki (0.6m) atau tiga kaki (0.9m), setidak-tidaknya persiapan atau SOP dalam keluarga sudah ada, sama ada bersiap siaga untuk pindah atau sebagainya," katanya ketika menjadi tetamu program Malaysia Petang Ini terbitan Bernama TV hari ini.
Rodzi berkata penambahbaikan pengurusan bencana ini juga akan menjadi antara keutamaan MKN sebagai anggota dalam pasukan petugas khas pascabanjir yang dibentuk kerajaan, dengan kerangka dan formula baharu dalam mengukuhkan pengurusan bencana akan diwujudkan supaya kesilapan sama tidak berulang.
"Sudah tentu ada pengajaran yang kita pelajari daripada banjir kali ini. Kita nak beri satu tambah nilai dengan kerjasama semua agensi kerajaan terlibat dan yakin satu perbincangan atau formula pengurusan bencana lebih efektif akan dihasilkan di masa depan," katanya.
Beberapa negeri dilanda banjir akibat hujan lebat pada 18 Dis lalu menyebabkan beberapa kawasan di Selangor dan Pahang teruk terjejas menyaksikan harta benda dan ratusan kenderaan ranap, meragut 48 nyawa dan lima lagi masih hilang.
Sementara itu, Rodzi berkata keluarga yang terkesan akibat banjir memerlukan masa seminggu sehingga sebulan bagi memulihkan kehidupan mereka kepada keadaan normal.
"Lumpur yang ditinggalkan amat tebal, jika keluarga itu sahaja yang nak bersihkan di kala semangat lemah, mereka perlu bangkit. Untuk bangkit kitalah rakyat Malaysia yang perlu bantu, tanpa bantuan mangsa banjir sudah tentu perlukan masa yang panjang untuk memulihkan kembali hidup mereka," katanya.
Rodzi berkata bagi infrastruktur yang musnah atau rosak akibat banjir seperti jambatan, sekolah, jalan raya dan kemudahan lain, masa lebih panjang diperlukan iaitu antara satu bulan ke tiga tahun berdasarkan pengalaman banjir yang pernah berlaku di negara ini.
Dalam pada itu, Rodzi berkata peranan MKN di kala berdepan dengan bencana banjir ialah membantu agensi terlibat terutama agensi utama iaitu Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dalam perkara-perkara yang melibatkan tindakan strategik.
"Jika ada sesuatu perkara yang hendak diuruskan NADMA berdepan masalah atau isu berbangkit, dari situ MKN akan membantu isu itu dan memastikan pengurusan bencana itu boleh berjalan lancar dengan baik dan berkesan demi memastikan keselamatan rakyat dipertahankan," katanya.
Rodzi berkata walaupun dengan tindakan kerajaan, rakyat perlu memberikan kerjasama erat dalam membantu pengurusan bencana termasuk lebih berwaspada dengan situasi bencana termasuk mempunyai kesedaran awal.
"Dalam konteks banjir, walaupun kerajaan telah membuat persiapan yang cukup dari segi logistik, sumber manusia dan sistem amaran awal, tetapi kita perlu faham keadaan situasi semasa, kita boleh bantu ringankan beban kerajaan dengan mengambil tindakan awal mungkin ketika air masih boleh dilalui, kita boleh membawa ahli keluarga kita keluar dan mencari tempat yang selamat.
"Saya yakin jika seluruh rakyat menyahut cabaran ini, pengurusan banjir akan lebih baik dan lebih nyawa dan harta benda dapat kita selamatkan," katanya.
-- BERNAMA