Perkasa, Jati desak Duta Vatican City dihantar pulang

Arfa Yunus
Julai 18, 2013 16:44 MYT
Syed Hassan Ali (kiri) dan Hassan Basri (tengah)
Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) dan Jalur Tiga (Jati) hari ini mendesak kerajaan menghantar pulang Duta Vatican City ke Malaysia, Biskop Joseph Marino.
Desakan dibuat semasa kedua-dua Pertubuhan Bukan Kerajaan itu (NGO) sejurus selesai membuat laporan polis di Ibu Pejabat Daerah Dang Wangi berhubung isu kalimah Allah petang tadi.
Setiausaha Agung Perkasa, Syed Hassan Syed Ali berkata kenyataan yang dikeluarkan Duta Vatican City itu berunsur menghina Islam dan telah membangkitkan kemarahan umat Islam negara ini.
"Kenyataan beliau sama sekali tidak boleh diterima dan dimaafkan kerana jelas beliau telah mencampuri urusan dalam negara.
"Beliau telah melanggar undang-undang negara seperti yang dinyatakan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail bahawa Duta ini boleh disabitkan dengan dakwaan menghasut,"
"Perkasa juga tidak dapat menerima permohonan maaf Duta itu melalui Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman,"
"Beliau perlu tampil sendiri di hadapan media dan memohon maaf secara rasmi kepada seluruh umat Islam di Malaysia," tambah beliau.
Ketua Penerangan Jati, Hassan Basri turut menyuarakan desakan yang sama kerana menurut beliau, kenyataan Duta itu boleh membawa kepada ketegangan agama antara masyarakat Islam dan Kristian di negara ini.
"Saya meminta supaya pihak polis membuat siasatan ke atas Joseph Marino kerana mencampuri urusan dalam negara dan menghasut sehingga membangkitkan kemarahan rakyat dan seterusnya membuat dakwaan yang sewajarnya ke atas beliau,"
Sebelum ini Abdul Gani berkata siasatan ke atas Duta Vatican City yang menyokong penggunaan kalimah Allah di kalangan penganut Kristian boleh dilakukan terhadapnya meskipun mempunyai kekebalan sebagai duta.
Media sebelum ini melaporkan Marino mengeluarkan kenyataan berhubung penggunaan kalimah Allah bagi penganut Kristian di negara ini.
Marino dikatakan menyokong kempen gereja tempatan untuk menggunakan kalimah Allah sebagai terjemahan bagi perkataan 'God' dalam kalangan penganut agama Kristian.
#desak #Duta Vatican City #hantar pulang #Jati #Joseph Marino #Kalimah Allah #PERKASA
;