Perkasa gesa dua tokoh disiasat Akta Hasutan
Bernama
November 7, 2018 19:24 MYT
November 7, 2018 19:24 MYT
Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) Perak menggesa agar tokoh wartawan Datuk A. Kadir Jasin dan tokoh perniagaan Koon Yew Yin disiasat mengikut Akta Hasutan 1948 kata Ketua Penerangannya Mohd Safian Sauri Pandak Abd Samad.
Ini kerana menurutnya ia disebabkan kedua-dua individu berkenaan dianggap bersikap biadap berikutan kenyataan mereka di blog masing-masing yang cenderung menghasut rakyat membenci institusi beraja di Malaysia.
Katanya kenyataan A. Kadir yang juga Anggota Majlis Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dilihat bersikap prejudis terhadap institusi Raja-Raja Melayu, disamping menghina, mempersenda serta cuba menghapuskan institusi Raja Melayu.
Koon pula menurutnya secara terang mencemarkan institusi Diraja Perak dengan membuat dakwaan sangat serius berhubung amalan rasuah dalam pengurniaan darjah kebesaran oleh Almarhum Sultan Azlan Shah.
"Tindakan mereka sudah kurang ajar, mencabar Raja kita dan Raja Melayu yang termaktub dalam Perlembagaan dan kita (Perkasa) perlu bangkit bersuara," katanya kepada pemberita selepas membuat dua laporan polis terhadap individu berkenaan di Ibu Pejabat Polis Daerah Perak Tengah di sini hari ini.
"Malah, kita merasa amat marah terhadap individu yang mencabar integriti, kredibiliti serta maruah institusi kesultanan Perak dengan mengeluarkan kenyataan yang tidak sepatutnya," tambahnya yang turut disertai kira-kira 45 ahli Perkasa dari kawasan parlimen Parit, Lumut, Pasir Salak, Bagan Datuk dan Teluk Intan.
-- BERNAMA
#A Kadir Jasin
#Akta Hasutan 1948
#Koon Yew Yin
#mohd safian sauri pandak abd samad
#PERKASA
#Pertubuhan Pribumi Perkasa