Perkasa generasi muda dalam industri media untuk kekal relevan - Lim Kok Wing
Bernama
Oktober 7, 2016 07:47 MYT
Oktober 7, 2016 07:47 MYT
Industri media harus menggalakkan dan memperkasakan generasi muda untuk kekal relevan dalam industri tersebut, menurut Tan Sri Dr Lim Kok Wing.
Pengasas dan Presiden Universiti Teknologi Kreatif Limkokwing berkata industri berkenaan mesti memahami dunia yang mengalami perubahan apabila golongan muda mendapati media dalam talian adalah lebih menarik daripada media konvensional.
"Serahkan lebih banyak kuasa kepada generasi muda (dalam organisasi) untuk terus berhubung dengan penonton muda. Memahami jiwa orang golongan muda. Kecuali kita interaktif, kita akan kehilangan audiens dari golongan muda.
"Golongan muda berada dalam talian di media sosial hari ini. Jika berada dalam talian, anda akan mendapati perkembangan berlaku sangat pantas dan halaman berita dipaparkan melalui coretan dan visual. Orang tidak duduk terlalu lama menonton televisyen pada masa sekarang," kata beliau semasa lawatan rasmi ke Bernama, di sini pada Jumaat.
Pakar perunding perhubungan awam itu berkata organisasi media perlu bergerak seiring dengan media sosial memandangkan golongan muda sudah biasa dengan gaya hidup lebih pantas sambil menekankan bahawa masa depan ditentukan oleh gaya hidup dan bukannya apa yang organisasi boleh tawarkan.
Ketika ditanya sama ada format laman web organisasi media perlu berubah untuk memenuhi kehendak golongan muda, Lim berkata panjang halaman juga perlu berubah serta kadar putaran berita.
"Golongan muda misalnya mengutip berita untuk dibaca setiap 15 minit, bukan setiap tiga jam. Oleh itu, kita perlu bergerak seiring dengan perubahan, kata Lim yang juga Wakil Khas Perdana Menteri ke negara-negara di Selatan Afrika sejak Mei 2016.
Terdahulu semasa lawatannya, Lim juga menyatakan minat untuk menjalin kerjasama antara Universiti Teknologi Kreatif Limkokwing dan Bernama.
"Kami berharap untuk bekerjasama rapat dengan Bernama terutama dalam penciptaan kandungan, penyampaian program dan pengaturcaraan. Saya fikir kita perlu bekerjasama untuk melihat bidang-bidang yang memungkinkan kerjasama antara kita," katanya.
Reputasi Lim dalam perhubungan awam memang cukup terkenal. Pada 1994, beliau membantu dalam kempen pendaftaran pengundi yang ternyata berjaya dalam pilihan raya umum bebas yang pertama di Afrika Selatan yang menyaksikan Kongres Kebangsaan Afrika (ANC) pimpinan Nelson Mandela mencapai kejayaan besar.
Perdana Menteri ketika itu Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengesyorkan kepada bekas Presiden Afrika Selatan supaya menggunakan khidmat Lim untuk kempen pendaftaran pengundi secara besar-besaran yang menyaksikan daripada 20 juta pengundi yang layak, sembilan juta adalah buta huruf.