Perkasa EV: 32 pelajar TVET tempatan jalani latihan di Beijing
Astro Awani
Mei 25, 2024 18:19 MYT
Mei 25, 2024 18:19 MYT
KUALA LUMPUR: Seramai 32 belia berkemahiran Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dihantar ke Beijing, China untuk memperkasa kemahiran dalam Advanced Electric Vehicle (EV).
Setiausaha Agung Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran (Belia Mahir), Mohammad Rizan Hassan berkata, mereka akan menjalani latihan selama dua minggu bermula 26 Mei ini di Pusat Penyelidik dan Pembangunan Beifang Auto di Beijing.
Katanya, mereka adalah pelajar bidang kejuruteraan automotif dari Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Gemilang Motor Academy (GMA).
Menurut beliau, penghantaran bakat Kemahiran TVET tempatan ke China adalah relevan memandangkan ketika ini Malaysia berada di landasan betul untuk menjadi kuasa EV yang hebat di Asia Tenggara dengan kerajaan secara agresif menggalakkan ekosistem EV yang kondusif, disokong bukti komitmen perniagaan yang kukuh.
"Kita juga akan menyaksikan industri menerima guna kemahiran dan infrastruktur baharu yang sesuai untuk pelbagai peringkat elektrifikasi, daripada hibrid sederhana kepada kenderaan elektrik sepenuhnya, selain memberi kemahiran tambahan dan baharu di luar kemahiran sedia ada yang dimiliki tenaga kerja automotif, di samping membuka peluang baharu untuk inovasi, penyelidikan dan pembangunan, serta pembuatan komponen bernilai tinggi.
"Justeru, latihan bersifat mobiliti antarabangsa bakat TVET tempatan ke China akan membantu mengisi keperluan tenaga kerja berkemahiran yang diperlukan bagi memenuhi keperluan industri pembuatan dan perkhidmatan bidang berkenaan," katanya dalam kenyataan di sini, pada Sabtu.
Mohammad Rizan berkata, gelombang global peralihan EV bakal menyaksikan pasaran dan industri itu di Malaysia berkembang dengan sangat pesat dalam tempoh lima hingga 10 tahun yang akan datang.
Beifang adalah pusat pembangunan automotif terkemuka di China yang menjadi pangkalan latihan bagi kepintaran untuk mencipta platform berkualiti tinggi untuk pengeluaran, pengajaran dan penyelidikan dalam bidang kereta pintar, bermula daripada kenderaan tenaga baharu, kenderaan bahan api tradisional, dan kenderaan rangkaian pintar
Beifang juga adalah rakan strategik industri kepada Malaysia-China Institute (MCI) yang akan dilawati Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, sempena lawatan rasminya ke China bermula 22 Mei hingga 1 Jun ini.