PERKASA desak Menteri Luar segera panggil Duta Vatican City

Irwan Muhammad Zain
Julai 16, 2013 16:10 MYT
Pertubuhan Pribumi Perkasa Negara (Perkasa) mendesak supaya Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman segera memanggil duta Vatican City, Joseph Marino ke Wisma Putra.
Presidennya, Datuk Ibrahim Ali juga mendesak Anifah supaya meminta duta vatican City itu memohon maaf atas kenyataan sokongannya agar kalimah Allah boleh digunakan oleh gereja Katholik di Malaysia.
Katanya, Perkasa menghargai kenyataan Menteri Luar itu yang mengutuk apa yang diucapkan oleh Joseph Marino namun berpendapat tidak memanggil duta tersebut dan tidak mendesak beliau menarik balik kenyataannya dan meminta maaf.
"Jika tidak dilakukan, isu akan berlarutan, tidak selesai dan kerajaan dilihat lemah dalam menjaga kemuliaan Islam, gagal mempertahankan perlembagaan negara dan UMNO juga dilihat gagal, sebagai parti tulang belakang kerajaan," katanya dalam satu kenyataan media.
Selain itu, Ibrahim menegaskan Perkasa menolak permohonan maaf Pasangan Alvin Tan dan Vivian Lee yang mempersenda umat Islam dan bulan Ramadan di laman sosial Facebook.
"Apa faedah tv dan media menyiar berita mohon maaf mereka?" soal Ibrahim.
Katanya sudah banyak kali kejadian menghina Isam berlaku di negara ini seperti iklan babi panggang yang disiarkan oleh akhbar The Star ketika Ramdan tahun lepas.
sebelum ini Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail berkata pasangan Alvin Tan dan Vivian Lee boleh didakwa mengikut banyak undang-undang termasuk Akta Hasutan akibat mempersenda umat Islam dan bulan Ramadan di laman sosial Facebook.
Mengenai kes Duta Vatican City ke Malaysia Biskop Joseph Marino yang menyokong penggunaan kalimah Allah di kalangan penganut Kristian, Abdul Gani berkata siasatan boleh dilakukan terhadapnya meskipun mempunyai 'immunity' sebagai duta.
#Ibrahim Ali #PERKASA
;