Perkasa bidang penyelidikan pertanian, Sarawak mahu jadi pengeksport makanan - Abang Jo
Nuzuluddin Abdul Razak
Julai 16, 2022 16:31 MYT
Julai 16, 2022 16:31 MYT
KUCHING: Sarawak bertekad untuk terus mengurangkan kebergantungan negeri itu kepada aktiviti import bekalan makanan dan bergerak di atas dasar baharu industri itu menjelang tahun 2030
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata sumber tenaga dan tanah yang luas serta penyelidikan bersama institusi pendidikan tinggi (IPT) menjamin objektif menjadikan Sarawak sebagai antara pengeksport utama bekalan makanan di rantau ini.
Tambahnya, dasar ini juga digarap bagi mengurangkan tekanan ekonomi kepada rakyat akibat inflasi yang dialami seluruh negara termasuk Sarawak yang kebanyakkannya melaksanakan perdagangan import.
“Sarawak hendaklah mempunyai sebuah kementerian yang akan lebih fokus kepada industri bekalan makanan, dengan pendekatan yang khusus melalui Agropark, penghasilan, produk hiliran, dan pemasaran untuk menuju ke arah negeri pengeksport menjelang tahun 2030.
“Maka saya tempatkan beberapa makmal penyelidikan pertanian di kawasan Simunjan untuk membuat kajian dari sudut teknologi misalnya dalam pengeluaran beras Biris daripada Kampung Lubok Punggor yang kajiannya akan siap dalam tempoh tiga bulan akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas melawat khemah-khemah Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) di Gedong pada Sabtu.
Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan Universiti Swinburne Kuching akan bekerjasama dengan kerajaan Sarawak untuk membangunkan makmal penyelidikan pertanian di kawasan luar bandar negeri itu.
Terletak di dalam daerah bakul makanan di Gedong, Samarahan, makmal tersebut akan menjalankan beberapa penyelidikan dan pembangunan (R&D) antaranya berkenaan rumah hijau, pertanian komersial dan moden serta pembangunan bakat.
Di samping mewujudkan Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak-Singapura (STATOS), kerajaan negeri juga telah menggerakkan projek Agropark sebagai tapak utama bekalan makanan dengan keluasan sehingga 1,000 ekar antaranya di Lubok Tamang Saribas, Sarikei, Betong, Debak dan Bintangor.