Perkampungan Cina Hainan pertahan adat resam, budaya
Sharom Abu Bakar
Februari 4, 2019 09:39 MYT
Februari 4, 2019 09:39 MYT
Satu ketika dahulu, bagi penduduk di Pantai Timur, khususnya di Terengganu, siapa yang tidak tahu mengenai Perkampungan Cina Hainan di Kampung Air Jernih, Kemaman.
Ia bagaikan "Little China Kingdom" dengan populasi 6,000 orang.
Namun, generasi bertukar ganti, perkampungan itu semakin sepi selepas ia melangkau ke generasi keempat penduduknya.
Kini hanya ada kira-kira 500 penduduk di Perkampungan Cina Hainan ini.
Namun, di sebalik populasi yang semakin mengecil, generasi sedia ada tetap mempertahankan adat resam dan budayanya.
Malah, budaya masyarakat Hainan itu akan jelas kelihatan setiap kali menjelang sambutan Tahun Baharu Cina.
Suasana meriah menjelang sambutan Tahun Baharu Cina. - Astro AWANI/Sharom Abu Bakar
Bagi generasi ketiga dan keempat, setiap kali sambutan Tahun Baharu Cina, semangat gotong-royong sentiasa ditampilkan dalam suasana yang harmoni.
"Penduduk di sini berasal dari Hainan di China lalu adat resam dan kebudayaan masyarakat di sini dibawa ke sini.
"Semasa musim perayaan, layar besar dipasang supaya sama-sama boleh menonton filem atau sama-sama berkaraoke bagi meriahkan lagi suasana," kata peniaga Lim Tin Meng.
Antara juadah tradisi yang menjadi hidangan wajib pada sambutan Tahun Baharu adalah Nasi Ayam Hainan.
"Anak-anak hanya akan pulang ke kampung semasa hari perayaan kerana mereka mahu sembahyang di tokong nenek moyong mereka.
"Selain itu hidangan yang selalu disaji adalah Nasi Ayam Hainan yang kebanyakannya di sini terkenal," kata peniaga Lee Siaw Kong.
Penduduk juga berharap kawasan penempatan yang terletak kira-kira 15 kilometer dari Bandar Cukai dengan senibina bangunan kayu berusia lebih seratus tahun itu, dikekalkan sebagai salah satu warisan negara.