'Perkahwinan Idaman' soalan lisan SPM 2022: Bukan saya mahu pertikai silibus...' - Dr Sheikh Muszaphar

Hasimi Muhamad
Februari 15, 2022 14:13 MYT
Soalan ujian lisan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bertajuk 'Perkahwinan Idalam' mengundang rasa kurang senang dalam kalangan warganet. - Sumber foto FB Dr Sheikh Muszaphar
KUALA LUMPUR: Soalan ujian lisan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bertajuk 'Perkahwinan Idalam' yang tular sejak beberapa hari lalu masih hebat diperdebatkan dan tidak kurang juga yang meluahkan rasa kurang senang dalam kalangan warganet.
Terbaharu, Angkasawan Negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor menyatakan rasa terkejut beliau mengenai topik perbincangan tersebut bagi pelajar berusia 17 tahun.
Menerusi kemas kini di laman Facebook, Dr Sheikh Muszaphar, 49, berkata terdapat banyak lagi topik yang boleh dijadikan sebagai perbincangan untuk menilai tahap kecerdasan minda para pelajar.
"‘Perkahwinan Idaman' tajuk yang diberikan buat pelajar SPM 2022 untuk viva BM ... MasyaAllah...
"Ada banyak lagi topik hangat lain (speerti) pandemik COVID-19 , keberkesanan PdPR (Pelaksanaan Pengajaran Dan Pembelajaran Di Rumah), manfaat gajet dan pelbagai lagi yang menjurus kepada topik semasa.
"Sungguh mengecewakan ... Sungguh tak relevan ... Tersentap sekejap diri ini," demikian tulis beliau dalam entri, berkenaan.
Benar, perkongsian tersebut mencuri perhatian netizen yang memberi respon berbeza terhadap perkara ini.
Dr Sheikh Muszaphar turut menegaskan tindakannya itu bukan untuk mempersoalkan sukatan pelajaran, sebaliknya ia soalan yang 'menggerunkan'.
Berdasarkan tinjauan Astro AWANI, pelbagai reaksi disuarakan oleh pengguna Facebook termasuk ada yang mendakwa ia tidak 'menggambarkan situasi sebenar'.
"Sedih apabila yang tidak tahu kedudukan sebenar membuat telahan melulu. Tema kebudayaan, kesenian memang ada dalam buku teks.
"Calon dirangsang untuk menjawab dengan bahan yang membantu. Mereka menggunakan pengalaman yang pernah mereka lihat dan tahu melalui pembacaan untuk mereka menjawab.
Budaya masyarakat yang diketengahkan bukan perkara yang negatif," tulis pengguna Facebook Atiey Sams.
Seorang lagi pengguna Facebook Siti Asma Mohamad berkata, "janya pentaksir sahaja tahu kebenaran tentang tema untuk soalan ini. Sedikit mengecewakan bila Dr pun komen seperti ini. Mujur la ini soalan tertutup dan kami tak dibenarkan untuk berkongsi soalan sebenar. Ia bukan seperti yang Dr sangkakan ya."
Selain itu, segelintir turut mempertikaikan kewajaran soalan tersebut dikemukakan, dan mendakwa anak mereka perlu menjawab topik berkenaan.
"Anak saya kena soalan ini," tulis Ahmad Sanusi Hashim.
Siti Rahmah: "Tak ada soalan lain ke nak bagi?"
#SPM 2022 #Angkasawan Negara #Dr Sheikh Muszaphar #soalan lisan SPM 2022
;