Perkahwinan Diraja: Gelagat Tengku Hassanal bergurau dengan Tengku Muhammad Iskandar

Astro Awani
Oktober 24, 2024 00:12 MYT
Tengku Hassanal bergurau senda apabila dilihat meletakkan segenggam bunga rampai di atas tangan Tengku Muhammad Iskandar - Foto video Astro AWANI
BAGAI pinang dibelah dua. Ibarat cincin dengan permata.
Ia sesuai untuk menggambarkan perkahwinan Putera Diraja, Tengku Arif Bendahara, Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustafa Billah Shah dan pasangannya, Tengku Natasya Puteri Tengku Adnan.
Pasangan mempelai sama cantik, sama padan itu selamat diijab kabul dalam Istiadat Akad Nikah Diraja yang berlangsung di Istana Abdulaziz Kuantan sekitar jam 8.50 malam, pada Khamis.
Tengku Muhammad Iskandar, 27, dan Tengku Natasya, 29 - masing-masing segak dan cantik bergaya dalam busana serba putih.
Selain tumpuan terarah kepada detik bersejarah Istiadat Akad Nikah Diraja pasangan itu, turut mencuit hati ialah gelagat Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah yang dilihat 'mengusik' adindanya, Tengku Muhammad Iskandar.
Ketika istiadat merenjis, Tengku Hassanal bergurau senda apabila dilihat meletakkan segenggam bunga rampai di atas tangan Tengku Muhammad Iskandar.
Reaksi santai Tengku Hassanal itu mengundang tawa Tengku Muhammad Iskandar dan isterinya, Tengku Natasya yang menggayakan rekaan pereka fesyen jenama mewah dari Indonesia, Hian Tjen.
Terdahulu, istiadat perkahwinan diraja itu disaksikan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, dan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, yang mengenakan persalinan berona hijau bersama paduka-paduka anakanda.
Keakraban Tengku Hassanal bersama kakanda dan adinda-adindanya termasuk Tengku Muhammad Iskandar sebelum ini kerap mendapat perhatian warganet.
Istiadat perkahwinan diraja akan diteruskan dengan Istiadat Berinai pada Jumaat, dan Istiadat Persandingan Diraja pada Ahad
Kedua-dua istiadat dijadualkan pada jam 8 malam dan disiarkan secara langsung menerusi dua layar besar di Padang Bandaraya Kuantan (MBK) 1 dan sebuah di Dataran Muzium Diraja, Pekan.
#Perkahwinan Diraja Phang #Tengku Muhammad Iskandar #Tengku Natasya Tengku Adnan #Istiadat Akad Nikah Diraja
;