Perkahwinan bawah umur tidak digalak di Malaysia - Rohani Karim

Bernama
Oktober 4, 2015 08:23 MYT
ROHANI: Bila mengandung terlalu muda, remaja perempuan bakal berhadapan dengan pelbagai risiko penyakit seperti kanser, mereka terlalu muda untuk menanggung beban sewaktu proses itu dan bayi yang dikandung itu tidak membesar dengan baik. -Gambar fail
Perkahwinan bawah umur di kalangan remaja terlalu muda di negara ini tidak digalak kerana dianggap melanggar hak asasi kanak-kanak selain menjejaskan kesihatan.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata perkara tersebut termaktub di dalam undang-undang negara selain mendatangkan pelbagai masalah.
"Bila mengandung terlalu muda, remaja perempuan bakal berhadapan dengan pelbagai risiko penyakit seperti kanser, mereka terlalu muda untuk menanggung beban sewaktu proses itu dan bayi yang dikandung itu tidak membesar dengan baik," katanya sempena sambutan Hari Warga Emas dan Kanak-Kanak Peringkat Kebangsaan, di sini pada Sabtu.
Majlis perasmian sambutan berkenaan disempurnakan Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah. Turut hadir, isteri Tunku Mahkota Johor, Che' Puan Khaleeda Bustamam serta Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Johor Asiah Md Ariff.
Rohani berkata dari perspektif sebagai individu pula, golongan tersebut belum mempunyai pertimbangan dan pemikiran yang matang untuk menghadapi situasi rumahtangga kerana mereka terlalu muda.
Beliau berkata sejumlah 841 perkahwinan bawah umur 18 tahun direkod di negara ini tahun lepas yang membabitkan 127 perkahwinan pasangan beragama Islam manakala bakinya perkahwinan pasangan bukan Islam yang didaftarkan di bawah Jabatan Pendaftaran Negara.
"Sebab itu kita selalu dengar kes beberapa bulan sahaja kahwin, dah cerai. Mereka tidak tahu apa yang mereka buat, mereka masih terkejut dengan situasi yang dihadapi," katanya.
Mengulas mengenai kenyataan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, Rabu lepas berkenaan perkahwinan kanak-kanak yang jarang berlaku di Malaysia, Rohani berkata perkara itu perlu dilihat dari perspektif global dan bukannya dalam konteks Malaysia sahaja.
"Apa yang beliau (Rosmah) kata 'rare' itu, beliau bercakap dari segi kedududkan kita (Malaysia) di mata dunia, yang dimaksudkan kita terlalu kecil, malah kita tidak ada dalam senarai pun, sebab itu beliau kata "rare'," kata Rohani.
Terdahulu, Rosmah yang berkongsi pengalaman Malaysia semasa mesyuarat pagi anjuran Yayasan Ford di New York, Amerika Syarikat berkata, perkahwinan kanak-kanak jarang berlaku di Malaysia berikutan kewujudan sistem pendidikan negara yang baik dan kadar kemiskinan yang sangat rendah.
Sementara itu, sambutan Hari Warga Emas dan Kanak-Kanak tersebut menyaksikan remaja lelaki, Munzir Shaharuddin, 15, dari Sungai Petani, Kedah dianugerah Pingat Hang Tuah atas keberanian menyelamat adik lelakinya dalam kebakaran asrama Sekolah Agama Raudhatut Tahfiz, Gunung Jerai, Kedah, 29 Julai lepas.
Khoo Qi Xuan, 16, dari Kuantan, Pahang dan Foo Eu Fang, 16, dari Melaka pula dianugerahkan Tunas Jaya Kebangsaan 2015 bagi kategori lelaki dan perempuan manakala Mustaqim Mustapa, 10, dari Kuala Lumpur dan Nurul Asnida Ridzuan, 13, dari Teluk Intan, Perak memenangi anugerah sama bagi kategori Orang Kurang Upaya (OKU).
#hak asasi kanak-kanak #perkahwinan bawah umur #remaja #Rohani Abdul Karim
;