Perjuangan belum berakhir, nasib dan harapan Pak Tambang
Shafik Ahmad
November 12, 2021 12:36 MYT
November 12, 2021 12:36 MYT
KUCHING: Lebih setahun tempoh yang ditempuhi dengan cabaran pandemik COVID-19 ternyata memberikan kesan besar kepada kepada setiap insan di Bumi Kenyalang.
Namun perjuangan tetap diteruskan demi sesuap nasi bagi memastikan ada hidangan diletakkan di atas meja.
Bertarung dengan musuh halimunan, pengalaman itu pasti tidak akan dapat dilupakan malah akan terus terpahat dalam sanubari.
Pembukaan sektor ekonomi secara berperingkat ternyata memberi nafas lega kepada pemain industri untuk kembali memulihkan pendapatan serta perniagaan yang terjejas.
Malah bantuan dari kerajaan disifatkan amat diperlukan yang sedikit sebanyak mengurangkan beban yang ditanggung akibat ketiadaan pendapatan.
Tidak terkecuali, sektor pengangkutan awam, terutama perkhidmatan perahu tambang di sekitar sungai Sarawak di bandar raya Kuching.
Namun kesan daripada pandemik COVID-19, pengusaha bot tambang kini hanya berpuas hati dengan hasil yang diperoleh.
Bagi mereka, bersyukur dengan hasil yang ada daripada tiada langsung untuk dibawa pulang.
Jika sebelum ini perkhidmatan perahu tambang sering menjadi pilihan para pelancong untuk menelusuri sungai, namun kini tidak lagi.
Kata Sapiee Ipin, kekurangan penggunaan perkhidmatan itu menyebabkan pengusaha lain tidak beroperasi seperti biasa.
“Ini banyak menjejaskan kami juga pendapatan berkurang berbanding sebelum ini di mana penggunaan perahu tambang masih mendapat permintaan tinggi.
“Tetapi pandemik COVID-19 telah memberi kesan kepada nasib kami para penambang khususnya mereka yang tidak mempunyai sumber pendapatan lain,” katanya.
Menurut Sapiee, dia mengambil upah sebagai penambang selepas tidak lagi bekerja sebagai buruh binaan atas faktor usia dan kesihatan.
“Ada juga pendapatan sebab sekarang usia sudah 50 tahun, tidak larat lagi untuk kerja sebagai buruh, jadi saya bantu kawan untuk meneruskan perkhidmatan perahu tambang, pendapatan itu kita akan kongsi,” jelasnya.
Bagi Zamsuri Tambi, 50 tahun, pandemik COVID-19 banyak memberi kesan kepada kumpulan kecil ‘pak tambang’ yang sudah sekian lama beroperasi.
“Cabarannya memang terasa dengan pendapatan yang tidak menentu ketika musim pandemik, ini kerana kami yang mengusahakan perkhidmatan perahu tambang, merupakan mata pencarian utama untuk menyara keluarga.
“Apabila berlakunya COVID-19, semua operasi terpaksa dihentikan susulan kawalan pergerakan serta penutupan sektor ekonomi dalam tempoh empat hingga lima bulan, dan ia telah memberi kesan yang mendalam kepada kami,” katanya ketika ditemui di Pangkalan Kampung Lintang di sini.
Meskipun terkesan dengan keadaan ekonomi yang tidak menentu susulan larangan pergerakan yang dikuatkuasakan sebelum ini, kerajaan dan pihak berkaitan tidak lepas tangan, malah turut menghulurkan bantuan yang diperlukan.
“Setakat ini kita pun ada menerima bantuan kewangan daripada pihak-pihak tertentu selain itu ada juga pemberian bakul-bakul makanan dihantar kepada kita,” katanya.
Apa yang diharapkan ketika ini katanya, penstrukturan semula serta penambahbaikan pengangkutan perahu tambang perlu diambil berat dalam memastikan nasib penambang terus dibela.
Mengulas lanjut mengenai perkara itu, beliau turut mencadangkan agar satu sesi dialog diadakan antara persatuan penambang dan Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS) dalam mencari penyelesaian serta mendengar kemahuan yang perlu disuarakan.
Antara cadangan yang sudah diketengahkan ialah pembinaan limbungan perahu atau dockyard bagi memudahkan para penambang untuk membaiki perahu dalam memastikan pengangkutan itu sentiasa dalam keadaan selamat untuk digunakan.
“Besarlah harapan kepada Pak Tambang sekiranya permohonan untuk membina ‘dockyard’ untuk baik pulih perahu tambang dapat diluluskan kerana ia penting untuk membaik pulih dan perahu tambang.
“Pengangkutan ini digunakan untuk membawa penumpang, dan ia berkaitan dengan keselamatan dan nyawa manusia. Jadi ia akan memberi kemudahan kepada para penambang untuk memastikan perahu mereka sentiasa dalam keadaan selamat,” jelas Zamsuri.
Antara lain, katanya beberapa peralatan penting masih diperlukan dalam setiap perahu tambang termasuk kelengkapan peti bantuan kecemasan, alat pemadam api dan jaket keselamatan.
Beliau berharap agar rintihan itu dapat didengari pihak berwajib dalam memastikan perkhidmatan pengangkutan itu tidak lupus ditelan arus permodenan.