Perjelas sebaiknya Malaysia Madani kepada rakyat Sabah - Hajiji

Bernama
Mac 9, 2023 17:50 MYT
Konsep Malaysia MADANI itu juga bertepatan dengan Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang diperkenalkan Kerajaan Sabah dalam usaha membangunkan negeri ini serta rakyatnya sendiri, kata Hajiji. - Gambar fail
KOTA KINABALU: Konsep Malaysia MADANI wajar diperjelas sebaiknya bagi memastikan konsep itu difahami dan memberikan kesan yang terbaik untuk rakyat negeri ini, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.
Sehubungan itu katanya Malaysia MADANI perlu diperjelaskan secara holistik dan dikupas secara ilmiah oleh pakar-pakar ilmuan pelbagai bidang dengan mengaitkan ciri kepelbagaian yang sinonim dengan masyarakat negara ini khususnya di Sabah.
Katanya konsep Malaysia MADANI itu juga bertepatan dengan Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang diperkenalkan Kerajaan Sabah dalam usaha membangunkan negeri ini serta rakyatnya sendiri.
"Usaha untuk menghayati konsep ini amatlah penting sebagai landasan asas kepada kita semua untuk sama-sama mencipta lonjakan baharu yang lebih harmoni, sejahtera, adil dan makmur. Justeru, konsep ini amat bersesuaian dengan suasana dan keperluan di negeri ini yang mempunyai lebih 30 etnik.
"Malaysia MADANI diilhamkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah diangkat sebagai satu paradigma baharu untuk negara mengolah hala tuju dasar dan perlaksanaan strategi, yang merentas semua sektor demi kemajuan, kecemerlangan dan kesejahteraan tanah air tercinta," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Forum Malaysia Madani: Keharmonian dalamKepelbagaian dianjurkan oleh Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) bersama Pejabat Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Tugas-Tugas Khas).
"Saya percaya akan ada lagi persatuan, badan bukan kerajaan dan institut pengajian tinggi (IPT) termasuk agensi kerajaan, akan menganjurkan seminar, forum dan bengkel yang mengupas lebih lanjut konsep Malaysia MADANI demi manfaat ahli-ahli, para pelajar, graduan dan kakitangan kerajaan," katanya.
-- BERNAMA
#Hajiji Noor #PM Anwar Ibrahim #Malaysia Madani #Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya
;