Perjelas isu kalimah 'Allah' dalam konteks perundangan - Penganalisis

Astro Awani
Mac 12, 2021 12:20 MYT
DR NOOR NIRWANDY: Keputusan mahkamah tersebut harus merujuk kepada situasi terpencil dan bukannya kepada penggunaan dan pemahaman penggunaan kalimah Allah secara terbuka dan tanpa batasan. - sinarharian.com.my
KUALA LUMPUR: Isu penggunaan kalimah Allah perlu diperjelaskan pada masyarakat dalam konteks perundangan berhubung keputusan mahkamah yang membenarkan dan batasan yang perlu diwujudkan dalam situasi tertentu.
Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi UiTM, Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, ia khususnya penggunaan kalimah Allah oleh agama lain selain daripada Islam.
"Keputusan mahkamah tersebut harus merujuk kepada situasi terpencil dan bukannya kepada penggunaan dan pemahaman penggunaan kalimah Allah secara terbuka dan tanpa batasan.
"Limitasi dalam konteks perundangan harus digariskan dan pihak hal ehwal agama berkaitan harus segera menjalankan tanggungjawab mewartakan larangan penggunaan kalimah Allah secara bebas dan terbuka di dalam bahan percetakan agama lain selain Islam dan penggunaan dalam bentuk ucapan.
"Larangan dan pewartaan ini amat penting bagi mengelakkan salah faham kepada umat Islam dan juga berkemungkinan berlakunya doktrinasi secara halus terhadap umat Islam oleh mereka yang tidak memahami kedudukan agama Islam dalam Perlembagaan Persekutuan dan cuba mengambil kesempatan atas isu tersebut untuk kepentingan peribadi," katanya kepada Astro AWANI pada Jumaat.
Kalimah Allah | Penganut Kristian boleh guna untuk tujuan mendidik
Kalimah Allah | Kerajaan PN tegas tidak campuri urusan mahkamah
Kalimah Allah | Masih awal ulas keputusan mahkamah - Dr Zulkifli
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum ini memutuskan bahawa penganut agama Kristian di seluruh negara boleh menggunakan kalimah “Allah” dan tiga perkataan Arab yang lain dalam penerbitan agama mereka untuk tujuan pendidikan.
Tiga perkataan itu ialah Baitullah, Kaabah dan solat.
Dalam pada itu jelas Dr Noor Nirwandy, isu itu juga berupaya mewujudkan ketegangan dan rasa tidak puas hati dalam kalangan penganut agama di negara ini sekiranya ia tidak diperincikan dengan tepat berhubung keputusan mahkamah membenarkan pengunaan kalimah Allah dan limitasinya.
Ujarnya, salah satu cara penyelesaian adalah dengan mewujudkan ordinan perundangan dalam tempoh darurat untuk menggariskan limitasi dan larangan penggunaan kalimah Allah oleh agama lain dengan segera.
"Pihak berkaitan hal ehwal agama Islam juga perlu mewujudkan strategi gerak saraf untuk menangani ancaman pemahaman dan penterjemahan kalimah Allah yang mengelirukan khususnya pada generasi muda umat Islam di negara ini," katanya.
#Kalimah Allah #Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi #Dr Noor Nirwandy Mat Noordin #Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur #penganut agama Kristian #Ordinan perundangan
;