Perjanjian Sarawak-Petronas satu kejayaan besar - Sharifah Hasidah
Astro Awani
Disember 8, 2020 19:17 MYT
Disember 8, 2020 19:17 MYT
KUCHING: Perjanjian penyelesaian komersial yang ditandatangani di antara Kerajaan Sarawak dengan Petroliam Nasional Bhd (Petronas) adalah satu kejayaan besar untuk negeri itu.
Menurut Menteri Muda Undang-Undang, Hubungan Negeri-Persekutuan dan Pemantauan Projek Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, kejayaan itu akan memakmurkan lagi ekonomi Sarawak dan melonjak taraf hidup rakyat dalam tempoh jangka panjang.
Berikut lima intipati utama perjanjian penyelesaian komersial tersebut:
1. Petronas dan negeri Sarawak bersetuju melalui menyerahkan hak untuk mengawal, mengurus dan menjalankan semua operasi perlombongan minyak di daratan melalui syarikat Petroleum Sarawak Berhad (Petros).
2. Sarawak diberi ekuiti untuk terlibat sama dalam operasi cari gali minyak dan gas di laut atau Kontrak Perkongsian Pengeluaran (PSC).
3. Sarawak diberi kuasa untuk membuat pelaburan dan menambahkan ekuiti dalam Malaysia LNG Group of Companies (MLNG) Sdn Bhd dan MLNG 2 Sdn Bhd sehingga 25 peratus.
4. Sarawak diberi kuasa membentuk dan melaksanakan satu pelan induk gas yang komprehensif untuk digunakan di negeri itu.
5. Anak-anak dan syarikat-syarikat negeri Sarawak terus akan diperkasakan melalui program vendor Petronas dan Petros selain terus terlibat sama dalam semua perniagaan minyak dan gas di negeri seperti yang dipersetujui.
Pada 7 Disember 2020, perjanjian penyelesaian komersial dimeterai antara Petronas dan Kerajaan Negeri Sarawak di Kuala Lumpur.
Perjanjian itu diwakili Presiden yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz dan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Datuk Amar Jaul Samion
Majlis itu disaksikan oleh Perdana Menteri, Tan Seri Muhyiddin Yassin, Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
#Muhyiddin Yassin
#Petronas
#Kuching
#Sarawak
#minyak
#rakyat
#pelaburan
#ekonomi
#Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali