Perjanjian Sarawak-Petronas: Biar masa tentukan, jangan pertikai keputusan - Abang Johari
Astro Awani
Disember 9, 2020 20:43 MYT
Disember 9, 2020 20:43 MYT
KUCHING : Perjanjian Penyelesaian Komersial (CSA) antara Kerajaan Negeri Sarawak dengan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) tidak perlu dipersoalkan, tegas Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.
Ketua Menteri Sarawak memberi respon demikian susulan kenyataan yang dikeluarkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Lintang, See Chee How yang mendakwa langkah itu sebagai merugikan Sarawak.
“Betul atau tidak (dakwaan Chee How) biar masa yang menentukan.
“Tidak perlu mempertikaikan perkara ini kerana hak ini sudah berada dalam tangan Sarawak,” katanya pada Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-10 Ma’had Tahfiz Tun Abdul Rahman Ya’kub di Kuching pada Rabu.
Dalam satu kenyataan, Chee How sebelum ini menyuarakan bahawa perjanjian berkenaan adalah satu keputusan yang mengecewakan dan tidak dapat diterima oleh rakyat Sarawak.
“Dalam hal ini, kerajaan negeri seolah-olah akur dan mengakui peruntukan perlembagaan dan perundangan berhubung pelaksanaan peruntukan dalam Akta Pembangunan Petroleum 1974.
“Biar pun perkara ini sudah berulang kali dikemukakan di dalam dan di luar mesyuarat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.
“Seperti yang dipertahankan oleh kerajaan negeri bahawa Sarawak tidak akan pernah mengakui, apatah lagi berganjak dalam urusan hak dan pemilikan minyak dan gas di dalam wilayah negerinya,” tambah ahli Parti Sarawak Bersatu (PSB) itu menerusi kenyataan pada Rabu.
Terdahulu, pada Isnin, Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata, perjanjian yang ditandatangani di antara kerajaan Sarawak dengan Petronas itu akan membuka lembaran baharu dalam usaha merancakkan lagi pembangunan industri minyak dan gas.
Ia juga akan membuka pelbagai peluang perniagaan dan pembangunan industri yang berkaitan di negeri itu, memetik kenyataan sama.
Justeru, Tan Sri Muhyiddin Yassin amat mengalu-alukan persetujuan di antara kerajaan Sarawak dengan Petronas dalam menyelesaikan isu berkaitan pengurusan minyak dan gas di negeri tersebut melalui sebuah perjanjian komersial.
Perjanjian dimeterai itu membolehkan Petroleum Sarawak Bhd (Petros), anak syarikat milik kerajaan negeri Sarawak, memainkan peranan yang lebih besar dalam industri minyak dan gas melalui kerjasama dengan Petronas.
Majlis menandatangani perjanjian tersebut diwakili presiden yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz dan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Datuk Amar Jaul Samion.
Majlis itu disaksikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
#Perjanjian Penyelesaian Komersial CSA
#kerajaan negeri Sarawak
#Petroliam Nasional Berhad PETRONAS
#Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg
#Ahli Dewan Undangan Negeri ADUN Batu Lintang
#See Chee How
#Petros
#Petronas