Perjanjian projek HSR KL-Singapura akan dimeterai minggu depan - PM Najib

Astro Awani
Disember 6, 2016 10:43 MYT
Projek HSR ini merupakan yang pertama seumpamanya di Asia Tenggara. - Gambar fail
Perjanjian Perlaksanaan Keretapi Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur - Singapura akan ditandatangani di Kuala Lumpur minggu depan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak berkata, penundaan itu dibuat atas permintaan Singapura.
Beliau berkata, Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong meminta sedikit masa kerana mereka perlu memberi taklimat dan mendapat kelulusan daripada Presidennya, Tony Tan Keng Yam.
"Perdana Menteri, Lee Hsien Loong telah menghubungi saya dan meminta sedikit masa bagi memberi taklimat kepada presiden mereka,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Sambutan Ulang Tahun ke-10 Iskandar Malaysia di Stadium Educity di sini, hari ini.
HSR yang dijangka mempunyai jarak rel sepanjang 350 kilometer akan memendekkan tempoh perjalanan dari Kuala Lumpur ke Singapura kepada 90 minit berbanding memandu kereta.
Projek ini merupakan yang pertama seumpamanya di Asia Tenggara.
Baru-baru ini Najib berkata, Malaysia dan Singapura berada di landasan untuk menandatangani perjanjian projek HSR pada awal Disember dan tender antarabangsa bagi membekalkan kereta api akan dibuat pada suku keempat tahun depan.
Malaysia dan Singapura memeterai perjanjian MOU HSR bersejarah itu pada 19 Julai 2016, menandakan dalam tempoh 10 tahun akan datang, pelancong akan sampai ke destinasi akhir antara kedua-dua bandar raya dalam hanya 90 minit.
Laluan itu dijangka mempunyai lapan stesen, iaitu di Kuala Lumpur, Putrajaya, Seremban, Ayer Keroh, Muar, Batu Pahat, Iskandar Puteri dan Singapura.
#Abdul Rahman Dahlan #HSR #keretapi laju #Lee Hsien Loong #Malaysia-Singapura #Najib Razak