Perjanjian Petronas dan Petros, bukti kerajaan PN ikhlas dan terbuka - Dr Jeniri
Fareez Azman
Disember 7, 2020 15:16 MYT
Disember 7, 2020 15:16 MYT
KUALA LUMPUR: Perjanjian penyelesaian komersial yang ditandatangani Kerajaan Sarawak dan syarikat Petroliam Nasional Berhad (Petronas) pada Isnin membuktikan keikhlasan dan keterbukaan kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Felo Kanan Majlis Profesor Negara (MPN), Dr Jeniri Amir berkata, kerjasama itu dapat membantu industri minyak dan gas di negara ini khususnya di Sarawak dapat terus berkembang.
"Ini satu langkah baik memastikan kita bergerak ke hadapan dengan lebih baik lagi, jelas ini menunjukkan komitmen dan keikhlasan Kerajaan Persekutuan khususnya Petronas untuk menjalinkan kerjasama lebih ikhlas dengan Petroleum Sarawak Berhad (Petros) .
"Ini sahaja langkah ke hadapan untuk kita pastikan segala sumber minyak dan gas di Sarawak ini dapat diterokai dengan lebih jelas lagi," katanya ketika ditemu bual Astro AWANI.
Dalam pada itu jelas Dr Jeniri lagi, beliau percaya kepakaran dan pengalaman anak Sarawak yang pernah berkhidmat untuk beberapa syarikat minyak antarabangsa boleh diguna pakai dalam memacu Petros.
"Tidak menjadi masalah, harus diingat Sarawak salah satu negeri yang punya sejarah penerokaan Petroleum sejak tahun 1910 di Miri.
"Dengan kepakaran yang ada, ketika anak-anak Sarawak berkerja di Shell, dan juga di Petronas sendiri saya percaya Petronas punya kemahiran dan sumber manusia yang sesuai untuk menerokai bidang ini dengan lanjut lagi.
"Saya percaya Petros akan terus menjalinkan kerjasama dengan Petronas untuk memastikan wujud keadaan menang-menang kerana keadaan ini akan dapat ditentukan dengan kerjasama ikhlas di antara kedua-dua syarikat minyak ini nanti," katanya.
Terdahulu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan bahawa perjanjian penyelesaian komersial ditandatangani di antara kerajaan Sarawak dan Petronas. dijangka membuka lembaran baharu dalam industri itu sekaligus menyelesaikan perkara berkaitan petroleum secara bersama.
#Muhyiddin Yassin
#Petronas
#Petros
#Miri
#Sarawak
#kerajaan negeri Sarawak
#Perikatan Nasional
#Gabungan Parti Sarawak
#GPS
#industri minyak dan gas
#petroleum