Perjanjian penyelesaian komersial beri peluang lebih adil dan luas buat Sarawak

Nickyson Nyambar
Disember 7, 2020 14:23 MYT
Awang Tengah berkata, perkara itu sudah menjadi aspirasi rakyat Sarawak sejak sekian lama untuk memperoleh pendapatan yang saksama dari sumber berkenaan.
KUALA LUMPUR : Pemeteraian perjanjian penyelesaian komersial (CSA) antara Kerajaan Negeri Sarawak dan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) bakal membuka peluang yang lebih luas buat negeri itu mentadbir urus sumber asli minyak dan gasnya.
Menurut Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, perkara itu sudah menjadi aspirasi rakyat Sarawak sejak sekian lama untuk memperoleh pendapatan yang saksama dari sumber berkenaan.
“Perjanjian ini dibuat berdasarkan pemahaman, penghormatan serta semangat untuk bekerjasama demi kepentingan bersama dalam sumber minyak dan gas.
“Perkara ini juga diharap akan dapat memastikan pembangunan yang berterusan dalam industri itu untuk kepentingan semua pemegang taruh di Sarawak dan negara kita amnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis menandatangani perjanjian penyelesaian komersial antara Kerajaan Negeri Sarawak dan Petronas di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur pada Isnin.
Perjanjian itu disaksikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.
BACA: Perjanjian Sarawak-Petronas bakal rancakkan pembangunan industri petroleum - PM
Tambah Awang Tengah, perjanjian itu turut memperhalusi penglibatan secara langsung Sarawak dalam pengurusan sumber asli khasnya di kawasan darat dan luar pesisir.
“Dengan ini, Sarawak dapat memacu peluang pelaburan yang lebih besar melibatkan sektor hulu dan hiliran.
“Menerusi perjanjian ini juga, Petronas dapat menggembangkan program pembangunan sedia ada, termasuk memberi lebih banyak peluang kepada syarikat Sarawak berkecimpung dalam khidmat sektor minyak dan gas,” jelasnya.
Selain itu, beliau memberitahu, Sarawak kini dapat menyelaras harga yang berpatutan untuk memperkasa agenda pembangunan industri berkenaan.
“Sarawak bertanggungjawab ke atas 60 peratus pengeluaran gas asli dalam negara dan lebih 25 peratus daripadanya melibatkan pengeluaran luar negara.
“Seperti yang kita maklum, salah satu tempat pengeluaran kompleks cecair gas asli (LPG) terbesar di dunia terdapat di Bintulu yang mana pembuatannya merangkumi 28 juta tan setahun,” dedah beliau.
Dalam masa sama, mewakili Ketua Menteri Sarawak, Awang Tengah menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menjadi penghubung dalam penyelesaian isu Cukai Jualan Negeri (SST) bersama Petronas sebelum ini.
“Terima kasih juga kepada Petronas yang telah menyelesaikan pembayaran SST ini tanpa perlu melalui proses undang-undang,” tambahnya.
#Perjanjian Penyelesaian Komersial CSA #kerajaan negeri Sarawak #Petroliam Nasional Berhad PETRONAS #Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan #Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg #Petronas #Sarawak
;