Perjanjian penyelesaian DOJ, Jho Low tidak dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet - Fahmi

Astro Awani
Julai 5, 2024 17:29 MYT
Isu berhubung perjanjian penyelesaian di antara DOJ dan Jho Low tidak dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri, kata Fahmi. - Gambar fail
PUTRAJAYA: Isu berhubung perjanjian penyelesaian di antara Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat (AS) dengan Low Taek Jho atau Jho Low tidak dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada Jumaat.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil memberitahu, perkara itu tidak berbangkit pada mesyuarat yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Perkara itu masih belum dimuktamadkan dan kita serahkan perbincangan itu kepada pihak berkenaan. Saya tidak ada maklumat lanjut mengenainya," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada mesyuarat Kabinet pada Jumaat ada menyentuh mengenai perjanjian penyelesaian dikatakan antara DOJ AS dan ahli perniagaan dalam buruan, Jho Low berkaitan skandal 1MDB.
Terdahulu, media melaporkan DOJ AS memeterai perjanjian sulit dengan Jho Low dalam usaha mencapai penyelesaian menyeluruh dan mungkin pengakhiran usaha memperoleh semula aset serta hartanah haram dikaitkan dengan skandal rasuah 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Perjanjian penyelesaian itu mungkin menyelesaikan secara tuntas tindakan merampas aset-aset sivil, jenayah dan pentadbiran atau prosiding berkaitan pelupusan' aset yang dikaitkan dengan 1MDB, menurut dokumen yang dipercayai dilihat Channel News Asia (CNA).
Menurut dokumen-dokumen itu serta eksekutif yang rapat dengan perkembangan berkenaan, DOJ menandatangani perjanjian sulit dengan peguam keluarga Jho Low dan pemegang amanah kewangan mereka pada awal bulan ini.
Ia membabitkan penyerahan aset yang sebelum ini dikenal pasti oleh pihak berkuasa serta yang belum dituntut atau diambil agensi pendakwaan seluruh dunia di bawah pelan penyelesaian baharu.
Jho Low dilaporkan akan menyerahkan harta bernilai lebih AS$100 juta (RM471 juta), termasuk sebuah apartmen mewah di Paris dan karya seni eksklusif Claude Monet dan Andy Warhol.
Tindakan itu dibuat bagi menyelesaikan kes pelucutan hak sivil berhubung peranannya dalam skandal rasuah dan penyelewengan dana syarikat pelaburan 1MDB.
Aset yang dilucut hak itu adalah tambahan kepada hampir AS$1 bilion (RM4.19 bilion), termasuk 'superyacht' bernilai AS$120 juta (RM503 juta) yang Jho Low dan keluarganya dilucut hak sebelum ini.
#1Malaysia Development Berhad #Jho Low #1MDB #DoJ
;