Perjanjian Kerajaan Perpaduan jadi tumpuan hari ini

Sinar Harian
Disember 16, 2022 08:45 MYT
Perjanjian itu melibatkan semua parti politik yang bersetuju dengan Kerajaan Perpaduan diterajui Pakatan Harapan (PH). - Foto fail
SHAH ALAM: Perjanjian yang bakal dimeterai parti-parti politik yang menyokong Kerajaan Perpaduan dijadual berlangsung hari ini bakal menjadi tumpuan menjelang usul undi percaya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim Isnin ini.
Perkembangan itu dilihat positif dalam usaha mengelakkan wujud konflik baharu ketika ramai pihak mengharapkan keabsahan Anwar sebagai perdana menteri berjalan lancar dengan mendapat sokongan dua pertiga ahli Parlimen menerusi usul undi percaya dalam sidang khas tersebut.
Pada Khamis, Timbalan Perdana Menteri,Datuk Seri Fadillah Yusof dilapor berkata, perjanjian itu melibatkan semua parti politik yang bersetuju dengan Kerajaan Perpaduan diterajui Pakatan Harapan (PH) dan perbincangan awal mengenai perjanjian berkenaan juga telah dipersetujui.
Fadillah menjelaskan, antara fokus yang menjadi keutamaan dalam perjanjian tersebut adalah berkaitan kos sara hidup.
Sesi menandatangani perjanjian berkenaan dijangka berlangsung pada 3 petang di Pejabat Perdana Menteri (PMO), Putrajaya yang akan hanya diwakili ketua-ketua parti dalam Kerajaan Perpaduan.
Tentunya inti pati perjanjian bakal menjadi fokus media dan pemerhati politik tanah air memandangkan manifesto setiap parti pada pilihan raya umum (PRU) perlu diselaraskan dibawah Kerajaan Perpaduan.
Sementara itu, Anwar dilapor berkata, kerajaan akan mengambil langkah dan pendekatan antara lainnya menarik pelaburan yang berkualiti, beralih kepada ekonomi rendah karbon, mempertingkat perlindungan sosial dan memantapkan daya tahan fiskal bagi memastikan reformasi struktur ekonomi negara dapat dijelmakan dengan teratur bertujuan untuk merancakkan pertumbuhan serta memperkukuh asas ekonomi negara.
"InsyaAllah, langkah-langkah ini akan dilaksanakan dengan dukungan Bank Negara Malaysia (BNM) dan semua jabatan yang berkaitan," katanya.
Dalam perkembangan lain, lapan agensi kerajaan dan sembilan syarikat bakal disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan dana sebanyak RM92.5 bilion ketika era pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada Khamis.
Difahamkan siasatan dijalankan bagi menyiasat sebarang bentuk ketirisan berhubung pakej rangsangan ekonomi tersebut menerusi operasi yang dijalankan serentak sekitar Lembah Klang.
Bagi perkembangan banjir setakat malam tadi pula, tiada perubahan dilapor di Pahang, Terengganu, Johor dan Kelantan, manakala di Perak semakin pulih apabila jumlah mangsa banjir berkurangan. - Sinar Harian
#Kerajaan Perpaduan #PM10 #PantauKerajaanBaharu #perjanjian
;