Perjanjian ECRL dijangka ditandatangani Malaysia-China pada Jumaat
Astro Awani
April 11, 2019 00:00 MYT
April 11, 2019 00:00 MYT
Perjanjian mengenai Laluan Keretapi Pantai Timur (ECRL) dijangka ditandatangani antara Malaysia dan China di Beijing pada Jumaat, lapor akhbar Sin Chew Daily yang memetik sumber dalaman.
Laporan itu juga menyatakan, Tun Daim Zainuddin sudah tiba di Beijing dan sedang berunding mengenai perincian perjanjian berkenaan dengan China.
Tun Daim juga dijangka mengadakan sidang media berkenaan jam 2 petang Jumaat dari Kedutaan Malaysia di Beijing bagi mengumumkan perincian perjanjian berkenaan.
Kerajaan sebelum ini memaklumkan jajaran projek ECRL disahkan akan diubah dengan memberi manfaat kepada Negeri Sembilan sekiranya ia diteruskan selepas rundingan diadakan dengan kerajaan China.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook yang mengesahkan perkara berkenaan, berkata keputusan ini dijangka dicapai dalam lawatan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ke republik itu yang antara lain akan membincangkan untuk mengurangkan kos pembinaan projek mega berkenaan.
Kerajaan sebelum ini melantik Tun Daim sebagai utusan khas Perdana Menteri bagi mengetuai proses perundingan semula ECRL dengan kerajaan China supaya penyelesaian menang-menang diperolehi.
#Beijing
#China
#ECRL
#Mahathir Mohamad
#Media
#Negeri Sembilan
#Pakatan Harapan
#PH
#Tun Daim
#Tun Daim Zainuddin
#Tun M