Perjanjian air: Azmin lebihkan politik berbanding rakyat Selangor - Irmohizam

Wan Syamsul Amly
Mac 24, 2015 04:21 MYT
IRMOHIZAM: Azmin lebihkan politik berbanding rakyat Selangor dalam isu perjanjian air. -Gambar fail
Majlis Belia Selangor menyatakan kekecewaan dengan sikap dan kenyataan Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali yang menimbulkan keresahan rakyat berhubung syarat-syarat perjanjian penstrukturan air di negeri itu.
Presiden Majlis Belia Selangor, Datuk Irmohizam Ibrahim berkata, tingkah laku Azmin di dalam isu itu kini dilihat lebih mengutamakan populariti dalam politik berbanding kesejahteraan rakyat Selangor sendiri.
"Azmin yang sering menimbulkan keresahan rakyat lebih mengutamakan populariti politik berbanding kesejahteraan rakyat Selangor dan seakan mempermainkan perasaan rakyat.
"Dia sering dilihat menjadikan rakyat sebagai mangsa tanpa memikirkan dahulu kaedah penyelesaian yg menyeluruh.
"Keikhlasan kerajaan pusat ingin membantu penyelesaian krisis air di Selangor diambil mudah serta ringan oleh kerajaan negeri Selangor," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Irmohizam mengulas perbincangan Kerajaan Selangor dan kerajaan Persekutuan pada Isnin berhubung syarat-syarat perjanjian penstrukturan air.
Perbincangan awal mengenai perkara itu diadakan antara Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mohammed Khusrin Munawi dan Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Loo Took Gee.
Dalam pada itu kata Irmohizam yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor, tindakan Azmin juga boleh mengakibatkan ekonomi negeri semakin merudum atas ketidaktentuan polisi dan dasar yang diperkenalkan.
"Ini akan meningkatkan pengangguran di negari Selangor.
"Saya menyeru agar kerajaan Selangor lebih konsisten dalam setiap tindakan yang dilakukan.
"Jangan memperalatkan rakyat dlm mencari populariti politik," jelasnya.
Sebelum ini Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Noh Omar menyifatkan Azmin tidak mempunyai pilihan lain selain meneruskan perjanjian penstrukturan industri air negeri dengan kerajaan persekutuan yang dibatalkannya sebelum ini.
Tegas Noh, Azmin kini dilihat tersepit dengan perjanjian berkenaan yang jelas membawa lebih banyak kelebihan kepada negeri itu sendiri.
#Azmin #Irmohizam #penjanjian air #penstrukturan #Selangor #UMNO